Bisnes & Ekonomi 01 Jun, 2025

Sasar nilai jualan RM3j! FAMA Fest 2025 @ Perak medan pemasaran agromakanan! Disertai 120 usahawan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Saarani Mohamad (dua, kanan) ketika merasmikan majlis penutup FAMA Fest 2025 @ Perak di RTC Gopeng, Perak.


Sektor pertanian terus menjadi pemangkin dalam ekonomi negara. Ini kerana sektor tersebut terus mendapat perhatian kerajaan.

Ini terbukti apabila Program FAMA Fest 2025 @ Perak edisi ketujuh yang diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak pada 29 Mei 2025 sehingga 2 Jun 2025 menjadi medan untuk usahawan agromakanan dalam memasarkan hasil pertanian di negeri ini. Program itu dijangka menarik seramai 150,000 pengunjung sepanjang lima hari penganjuran.

Majlis penutup FAMA Fest 2025 @ Perak di RTC Gopeng telah dirasmikan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 1 Jun 2025.


Saarani Mohamad (kiri) menunjukkan produk usahawan yang dipamerkan sempena FAMA Fest 2025 @ Perak.


Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam kenyataan media berkata, lembaga itu menyasarkan nilai jualan sebanyak RM3 juta dengan penyertaan lebih 120 orang usahawan melalui 210 lot pameran dan jualan yang melibatkan pelbagai kluster produk agromakanan.

Secara jelasnya, program ini memberi ruang kepada para usahawan tempatan memasarkan produk, memperluas jaringan niaga serta memperkenalkan hasil tani berkualiti tinggi terus kepada pengguna.

Pelbagai segmen menarik turut ditampilkan seperti Jualan Agro Madani yang menawarkan produk segar seperti buah-buahan, sayur-sayuran, ayam, daging, ikan dan beras, termasuk 2,500 Kombo Madani yang dijual pada harga penjimatan sehingga 30%.

Untuk penggemar makanan, FAMA Fest turut menyediakan segmen Empayar Makanan dan Food Truck yang menawarkan lebih dari 400 menu makanan tempatan yang unik dan menarik dari pelbagai kawasan di Malaysia seperti Rendang Tok Mak Nik, Miker Pizza, Gazebo Abg Nash, Laksa Buyung, Nasi Ayam Golek, Kacang Pool dan lain-lain.


Saarani Mohamad menunjukkan pisang goreng yang dijual di FAMA Fest 2025 @ Perak 


Di samping itu, sebanyak 500 produk Industri Makanan Asas Tani (IMAT) akan dipamer dan dijual oleh usahawan IKS dari Perak dan negeri-negeri lain. Pelbagai produk seperti kuih peneram, kek seringgit, ikan garam kunyit, madu lebah, jus roselle, kambing perap dan snek hasil laut bakal menjadi tarikan utama pengunjung.

Tarikan lain termasuklah segmen Florikultur yang menawarkan pelbagai jenis pokok hiasan dan tanaman, serta pameran agensi dan perkhidmatan kerajaan di bawah Kaunter Khidmat Pelanggan.

Pengunjung juga boleh menikmati acara interaktif seperti Pertandingan Suara AgroStar, Senamrobik, Ceramah Motivasi oleh Dato’ Ustaz Kazim Elias, persembahan oleh kumpulan XPDC dan SYJ, serta persembahan busking. 

Kanak-kanak pula berpeluang menyertai pertandingan mewarna dan aktiviti di Pameran Haiwan dan Petting Zoo yang menampilkan haiwan menarik seperti alpaca, kucing dan arnab.


Saarani Mohamad (tujuh dari kiri) bergambar dengan kakitangan FAMA sempena FAMA Fest 2025 @ Perak di RTC Gopeng, Perak.


Salah satu keunikan tahun ini ialah aktiviti Business Matching yang menyediakan platform pemadanan perniagaan yang menemukan usahawan dengan agen pemasar luar negara seperti Thailand dan United Kingdom (UK), sekali gus membuka peluang pemasaran lebih luas termasuk pasaran eksport.

Inisiatif ini amat bertepatan dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, di mana Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengetuai agenda keterjaminan makanan serantau. Usaha sebegini dilihat mampu meletakkan usahawan tempatan pada kedudukan yang lebih kompetitif di pasaran ASEAN.

FAMA Fest 2025 juga membawa objektif utama iaitu mempromosikan produk agromakanan tempatan, mewujudkan jaringan pemasaran lebih luas, menghebahkan perkhidmatan kerajaan kepada masyarakat dan merangsang penglibatan belia dalam sektor agromakanan. Program ini diharap dapat memperkukuhkan ekosistem agromakanan negara melalui pendekatan inklusif dan berimpak tinggi.

FAMA dan KPKM akan terus komited membantu mengukuhkan sektor pemasaran hasil tani negara dengan memberi tumpuan kepada pembangunan keusahawanan, pembukaan peluang eksport dan keterjaminan makanan untuk rakyat.

Melalui kerjasama erat antara kerajaan persekutuan dan negeri, serta sokongan rakyat, FAMA Fest diyakini mampu menjadi pemangkin transformasi ekonomi agro yang mampan. - KitaReporters

12
10
0
6
0
You will be interested