Bisnes & Ekonomi 24 Jan, 2024

KLIP bakal ubah Kuala Sungai Linggi! Untuk jadi Hab Perindustrian, Pelabuhan, Perkhidmatan Maritim!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com.

Share this

Ketua Menteri Melaka (tengah) menyempurnakan majlis pecah tanah KLIP.


Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi atau KLIP merancang mengubah Kuala Sungai Linggi menjadi Hab Perindustrian Global Hijau untuk Sumber Tenaga, Pelabuhan dan Perkhidmatan Maritim.

Rancangan pembangunan termasuk pembinaan simpanan tangki, limbungan kapal, industri berat, limbungan fabrikasi, kawasan pengendalian kargo yang kukuh, dermaga dan kemudahan gudang dengan anggaran kos RM15 bilion, dijangka siap pada 2027.

Sehubungan itu, satu majlis pecah tanah projek tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab. Rauf Yusof pada 23 Januari 2024.

Turut hadir antaranya Pengerusi KLIP, Tun Datuk Seri Utama Dr Mohd Khalil Yaakob; Pengerusi Eksekutif KLIP, Tan Sri Datuk Seri Dr Noormustafa Kamal Yahya; dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadr.



“Majlis pecah tanah ini merupakan satu peristiwa bersejarah bagi Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi dan langkah penting ke hadapan dalam misi kami untuk menjadi hab maritim bertaraf dunia, “ ujar Dr. Noormustafa Kamal Yahya (gambar atas) dalam ucaptamanya. 

Menurut beliau, pihaknya bukan sekadar membina pelabuhan tetapi juga sedang membina simbol kemajuan, kerjasama dan inovasi dalam ekosistem maritim yang merangsang pembangunan ekonomi serta mewujudkan peluang untuk generasi akan datang,

“Projek ini akan mewujudkan sehingga 10,000 peluang pekerjaan mahir dan menyumbang ke arah sosial pembangunan komuniti. Dan apabila siap menjelang 2027, fasa pembinaan KLIP bersedia untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, pengembangan perdagangan dan inovasi teknologi di rantau ini,” jelas Dr. Noormustafa Kamal.



Pada masa sama, KLIP juga mengumumkan permulaan kontrak yang diberikan kepada China Harbour Engineering Co Limited (CHEC) dengan nilai RM760 juta dengan  jumlah kos projek penambakan memakan belanja RM1.39 bilion di pulau seluas 620 ekar itu. 

Bersandarkan kepada Kos Pembangunan Kasar (GDC) yang dianggarkan RM15 bilion dan Pembangunan Kasar Nilai (GDV) diunjurkan bernilai RM100 bilion, KLIP bersedia untuk menjana Pendapatan Negara Kasar (PNK) daripada pendapatan pertukaran projek asing dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada industri tempatan. 

Sebagai pelabuhan persendirian KLIP mentakrifkan semula piawaian kemudahan pelabuhan dengan menggabungkan teknologi canggih, amalan mampan dan penyelesaian logistik yang cekap. 

Lokasi strategik di sepanjang Selat Melaka meletakkan KLIP di persimpangan laluan perkapalan utama dan mewujudkan hubungan penting untuk perdagangan antarabangsa antara Asia, Eropah dan Timur Tengah. 


Dr Noormustafa memberi penerangan mengenai projek KLIP kepada Abdul Rauf Yusof (kiri) di ibu pejabat tapak Pelabuhan Kuala Linggi, Melaka.


Kemudahan terkini akan direka bentuk untuk menampung simpanan tangki dalam mengendalikan pukal cecair kargo, Gas Petroleum Cecair (LPG) dan Gas Asli Cecair (LNG) serta kawasan khusus untuk pembaikan dan baik pulih penyelenggaraan kapal (MRO). 

Pelabuhan tersebut dibina untuk melaksanakan teknologi canggih seperti tenaga hijau, sistem logistik pintar dan ketepatan masa untuk mengoptimumkan kecekapan operasi dan mengurangkan masa pemulihan.

Apabila siap menjelang 2027, fasa pembinaan KLIP bersedia untuk menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, pengembangan perdagangan dan inovasi teknologi di rantau ini. - KitaReporters


15
9
0
6
0
You will be interested