Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas com) menghadiahkan pakej umrah kepada pemintal belon viral, ‘Abang Mr Bean’ yang mendapat perhatian ramai menerusi kisahnya yang menampung kehidupan sebagai penghibur jalanan dengan meniru aksi watak komedi terkenal itu.

Abang Mr Bean aka Mohd Nizam Mohamad Idrus
Kru produksi ikhlas com bersama pempengaruh, Edin Komeng pada mulanya merancang untuk memborong kesemua belon Mohd Nizam Mohamad Idrus, 49, yang menjualnya se‘ikhlas’ hati - agar pelanggan boleh menentukan sendiri berapa yang ingin dibayar, tiada harga tetap, hanya kepercayaan dan keikhlasan.
Namun setelah mendapatkan kelulusan peringkat atasan, mereka menyampaikan berita gembira itu kepada Mohd Nizam dan isterinya, Suraya Zulkifli, 49, bahawa mereka telah terpilih sebagai penerima tajaan Umrah 1000 Asnaf 1448H daripada ikhlas com.
“Saya terharu sangat, saya tak pernah jangka pada awal bulan Ramadan ini saya mendapat kejutan daripada ikhlas com.
"Apa yang saya lalui sepanjang perjalanan hidup kami berdua ini, saya rasa Allah SWT dah balas dengan cara yang tak disangka-sangka.
"Umrah bukan kepada yang mampu, tetapi bila Allah dah seru benda ni tak mustahil akan berlaku,” kata Mohd Nizam.

Program Umrah 1,000 Asnaf dilancarkan pada 19 Mac 2025 sempena sambutan Ulang Tahun ke-5 ikhlas com dengan misi untuk memperkasa komuniti setempat dalam mengenal pasti golongan asnaf yang terpilih untuk merealisasikan impian mereka melaksanakan ibadah umrah.
Ia selaras misi ikhlas com untuk menjadikan ibadat umrah mampu diakses oleh semua umat Islam, termasuk mereka yang tidak berkemampuan, sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Pelepasan seterusnya untuk musim umrah 1448H dijadualkan selepas musim haji akan datang. - KitaReporters/Kenyataan Media
