Bisnes & Ekonomi 08 Aug, 2025

Jom sumbang! Misi Meow Prihatin! Mydin tubuh bank makanan kucing! Ajak prihatin kucing jalanan!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this

Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dan Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) mengambil langkah proaktif melalui  program ‘Misi Meow Prihatin’ dan Bank Makanan Kucing. Program ini mendapat sentuhan diraja apabila Tengku Permaisuri Selangorberkenan menyempurnakan majlis perasmiannya bersempena dengan sambutan Hari Kucing Sedunia. - KitaReporters



Dalam setiap titian langkah seekor kucing terbiar, tersembunyi sebuah kisah perjuangan untuk mencari makanan dan perlindungan. 

Kisah-kisah ini telah menyentuh hati banyak pihak, mendorong Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) dan Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) untuk mengambil langkah proaktif melalui  program ‘Misi Meow Prihatin’. 

Program ini mendapat sentuhan diraja apabila Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan menyempurnakan majlis perasmiannya di MYDIN Subang Jaya pada 7 Ogos 2025 lalu, bersempena dengan sambutan Hari Kucing Sedunia.



Merupakan program tanggungjawab sosial korporat. ia direalisasikan dengan kolaborasi bertujuan untuk meringankan beban kucing-kucing terbiar melalui inisiatif bank makanan kucing. 

Sebanyak 27 cawangan pasar raya besar MYDIN akan dilengkapi dengan bank makanan ini bagi membolehkan orang ramai, khususnya pelanggan MYDIN, menyumbang makanan kucing.

Pada majlis yang penuh makna itu, Tengku Permaisuri melancarkan rangkaian produk makanan dan kesihatan kucing di bawah jenama MYDIN sendiri, iaitu SmartCat dan SuperCat,  sekali gus merasmikan Bank Makanan Kucing yang diiringi bersama Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira (Dr) Ameer Ali Mydin dan isteri, Datin Wira Dr. Siti Hawa Mohd selaku Pengarah MYDIN.



Tengku Permaisuri menyempurnakan gimik pelancaran Misi Meow Prihatin' bersama Ameer Ali Mydin dan Dr, Hajah Siti Hawa.


Turut hadir Pengarah Eksekutif MYDIN, Ahimmayt Mydin dan Jonathan Yeoh dari PAWS.

Produk-produk ini dihasilkan untuk memenuhi keperluan pemilik haiwan peliharaan dengan harga yang mampu milik dan kualiti yang terjamin, menandakan komitmen MYDIN untuk memperluaskan penawaran produk jenama sendiri ke dalam segmen penjagaan haiwan.

Menurut  Ameer, “Program ini julung kali diadakan dan merupakan cerminan komitmen berterusan MYDIN dalam menyantuni bukan sahaja masyarakat, tetapi juga haiwan yang menjadi sebahagian daripada keluarga dan komuniti kita.” 

Beliau turut berharap inisiatif ini akan melibatkan masyarakat untuk sama-sama menyumbang melalui bank makanan kucing yang disediakan.




"Program ini juga memberi peluang kepada pencinta kucing untuk membawa kucing mereka mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma dan juga menawarkan peluang kepada orang ramai untuk menjaga kucing terbiar yang telah diselamatkan oleh Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) sebagai haiwan peliharaan," tambah beliau.

Sebagai tanda sokongan terhadap usaha kebajikan haiwan, MYDIN menerusi inisiatif MYDIN Prihatin turut menyumbangkan barangan makanan dan keperluan haiwan bernilai RM10,000.00 kepada PAWS.

MYDIN berharap agar sumbangan ini meringankan sedikit bebanan yang ditanggung oleh pihak Persatuan Kebajikan Haiwan (PAWS) dalam menjaga kebajikan haiwan terbiar tersebut. 

"Mydin sentiasa komited untuk menyokong rakyat jelata serta menjaga kesejahteraan komuniti," akhiri Ameer. - KitaReporters

13
10
0
10
0
You will be interested