Bisnes & Ekonomi 09 Oct, 2023

Sembang-Sembang| Tertekan harga barang naik! Ramai nekad ikat perut! Belanja ikut keperluan sahaja!

@normala hamzah
NORMALA HAMZAH penerima Anugerah Wanita Inspirasiku 2015. Bekas Pengarang Kanan meja Keluarga Utusan Malaysia dan majalah Wanita. Penulis buku Permaisuri, Ibu Halimah dan Odyssey Dari Lembah ke Puncak. Kini aktif dalam Projek Wakaf Telekung Siti Aishah. Emel >> [email protected]

Share this


Semua naik.  Ramai rakyat berkeluh kesah dengan kehidupan yang semakin dihimpit kepayahan. Satu demi satu harga barang keperluan naik. Ada juga yang hilang di pasaran. Sedangkan hidup perlu diteruskan. 

"Abang beli apa yang  perlu sahaja ya. Janji anak-anak dapat makan dan kenyang, " terdengar pada telinga saya perbualan seorang lelaki ketika berada di sebuah kedai runcit baru-baru ini 
"Ya lah… abang tahu. Yang lain tunggu dua tiga minggu lagi, ada duit kita beli tambah,'' kata si suami sebelum mematikan telefonnya. 
Melihat saya memandangnya dia tersenyum. "Kena berjimat kak. Beli yang perlu asal anak-anak cukup makan, " ujarnya seperti tahu saya mendengar perbualannya tadi. 
Saya membalas senyumannya dan memberi laluan dia beredar sambil menolak troli yang hanya berisi sedikit barang basah. Dalam hati berkata, Ya Allah Kau murahkan rezeki lelaki ini dan keluarganya. 
Itu hanya satu kisah yang berlaku di hadapan mata. Banyak lagi yang menghadapi keadaan yang sama sekarang. 
Seorang wanita dilihat mengambil seikat kangkung dan sebiji kobis beberapa kali. Membelek harga. Kemudian meletaknya semula. Sudahnya dia tidak mengambil kangkung atau kobis itu semasa membayar di kaunter. 


Demikian perkara yang menghantui diri para suri rumah dan ketua keluarga sekarang ini. Bagi yang mampu turun naik harga tidak jadi masalah. Mereka tetap berbelanja mewah seperti tidak ada apa yang berlaku. 
Tetapi bagi golongan kurang mampu, penduduk kampung, mereka yang berkerja sendiri, keadaan sekarang amat perit. Belum dikira belanja sekolah anak-anak, yuran taska, tadika, tuisyen dan bas sekolah. 
Beras, ikan, sayur, barang kering, barang basah banyak yang harga naik mencanak. Lepas satu satu harga barang naik dan ada yang disorok. 
Harga beras naik mencanak. Gula, minyak dan telur susah dicari sementara barang basah turun naik tanpa kawalan. 
Masyarakat teruk  terkena tempiasnya. Mahu atau tidak kena hadap dan cari penyelesaian terbaik supaya kehidupan keluarga tidak terjejas. 


Sungguh keadaan semakin sulit. Bertimpa-timpa masalah datang. Siapa hendak disalahkan. Bantuan ada. Tapi bermusim. Lepas musim berlalu pandai-pandailah kita hendak hidup. 
"Saya sudah tidak berniaga sejak dua bulan lalu. Tak dapat untung. Barang mentah nak buat nasi lemak pun naik. Nak jual dengan harga lebih sikit orang komplain. Nak jual harga biasa kita pula yang rugi. 
"Lalu saya buat keputusan berhenti berniaga buat sementara waktu. Mujur suami ada kerja tetap. Cukuplah untuk menyara kami sekeluarga," kata Ina yang sudah 5 tahun berniaga nasi lemak. 
Manakala seorang ibu tunggal enam anak membuat tiga kerja dalam seminggu untuk terus hidup dan menyara anak anaknya. Selain bertugas sebagai pekerja di sebuah syarikat peralatan rumah hujung minggu dia mengambil upah mencuci rumah dan menggosok pakaian. 
"Semua yang saya buat demi anak-anak. Saya tidak mahu pelajaran dan emosi mereka terganggu kerana masalah kewangan. Syukur saya masih sihat dan diberi kudrat untuk buat kerja untuk mencari rezeki kami anak beranak," kata Mira yang sudah 7 tahun berpisah dengan suami. 
Seorang suami dan bapa pula menyambung kerja dengan membuat Grab selepas waktu kerja demi mencari pendapatan lebih. Memandangkan kerjanya mengikut syif, dia bersyukur kerana Allah bagi masa kepadanya untuk mencari duit lebih dengan membuat Grab. 
"Bohong la kalau saya kata tak penat. Tapi saya perlu kuat untuk anak isteri di rumah. Mengharapkan gaji sahaja tidak cukup. Jadi dengan kerja sambilan ini  cukuplah untuk menampung bayaran rumah dan sekolah anak anak," katanya yang mahu dipanggil Fendi. 


Usaha membawa kejayaan. Rajin dengan tidak sahaja. Syabas kepada anda yang mahu bertindak melawan keadaan. 
Rezeki Allah meluas. Carilah di mana- mana asal halal. Allah akan bantu meringankan beban hamba-Nya yang bersabar dan meminta pertolongan-Nya. 
Pihak berkuasa pula jangan bertindak seperti melepas batok di tangga. Semoga segala keadaan yang menyusahkan rakyat ini dapat segera diatasi. 

Jangan seperti kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Semoga Allah bantu kita semua. 

13
13
0
5
0
You will be interested