Bisnes & Ekonomi 08 Nov, 2024

Bukan guna gajah bekerja! Tapi proses ujian ketahanan reka bentuk! Untuk pagar haiwan di laluan ECRL!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Proses ujian ketahanan bagi reka bentuk pagar haiwan liar yang telah dijalankan di Hutan Simpan Kemasul, Temerloh, Pahang.


 Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) ingin merujuk kepada beberapa hantaran yang tular di media sosial yang menunjukkan dua (2) ekor gajah sedang menolak struktur pagar yang telah dipasang di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). 

Pihak kami ingin memaklumkan bahawa video yang tular tersebut adalah sebahagian daripada proses ujian ketahanan bagi reka bentuk pagar haiwan liar yang telah dijalankan di kawasan yang dikenal pasti sebagai habitat gajah di daerah Temerloh, Pahang. 

Jajaran ECRL di Hutan Simpan Kemasul, Temerloh, Pahang merentasi beberapa ladang pertanian dan kawasan pinggiran Hutan Simpan Kemasul yang menjadi habitat kumpulan gajah. 

Setelah beberapa sesi perbincangan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia dijalankan, pagar halangan fizikal gajah perlu dibina di kedua-dua belah landasan ECRL sepanjang Hutan Simpan Kemasul bagi mengelak konflik manusia-gajah di kawasan tersebut terutama semasa dan selepas projek ini disiapkan. 

Ia juga merupakan salah satu kawalan mitigasi bagi menghalang kemasukan gajah ke kawasan landasan kereta api ECRL yang boleh menyebabkan kemalangan. 

Justeru, pihak Jabatan PERHILITAN telah mengesyorkan agar mock-up reka bentuk pagar halangan fizikal dibina di lokasi sebenar bagi menguji ketahanan dan keberkesanan pagar sebelum sebarang keputusan reka bentuk dimuktamadkan. 

Ujian ketahanan prototaip pagar halangan fizikal gajah telah dilakukan pada 23 Oktober 2024 dengan kerjasama pihak Jabatan PERHILITAN. 

Lanjutan daripada itu, perbincangan susulan atau post-mortem antara pihak ECRL dan Jabatan PERHILITAN akan dibuat dalam masa terdekat untuk tindakan seterusnya. 

Untuk makluman, satu perjanjian tambahan pelaksanaan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (Wildlife Management Plan) bagi Projek ECRL telah dimeterai antara kontraktor utama projek iaitu China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd dan pihak Jabatan PERHILITAN pada tahun 2022 bagi menambah baik kerja-kerja pemuliharaan dan mitigasi hidupan liar di sepanjang jajaran 665 km. 

Bagi tujuan mengurangkan kesan alam sekitar daripada proses pembinaan ke atas hutan semula jadi, sungai dan sumber air, reka bentuk jajaran ECRL turut merangkumi pembinaan 41 buah terowong, kira-kira 145 km laluan bertingkat atau jejambat serta 28 lintasan hidupan liar di lokasi-lokasi strategik. 

MRL adalah pemilik Projek ECRL yang merupakan infrastruktur rel nasional yang bakal merentasi negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang serta Lembah Klang. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
9
0
10
0
You will be interested