
BAGI sesetengah orang, bila ada segulung ijazah sudah pasti ingat masa depan terjamin dengan kerja yang bagus dan gaji lumayan. Malah kalau dapat berkhidmat dengan kerajaan, lagilah laluan yang mudah untuk membina kehidupan.
Hendak pula jika keluarga mempunyai rangkaian perniagaan terkenal dan ibu bapa berjawatan tinggi dalam institusi kerajaan atau swasta. Semua itu sedikit sebanyak dapat membantu. Pilihan kerja di hujung jari, bukan?
Namum tidak semua orang mahu menggunakan ijazah itu untuk mengejar pangkat dan gaji lumayan sebaliknya bagi mereka yang sukakan cabaran berniaga akan memanfaatkan ilmu dan pengalaman dari universiti sebagai asas untuk membuka bisnes yang pendapatan sudah tentu tiada hadnya.

Sos pedas dan hijau serta adunan sosej dengan hirisan kobis yang istimewa.
Begitulah yang dilakukan oleh orang muda ini, Muhamad Amiruddin Azmi pemilik Amir Sosej Steambot.
Ayahnya adalah bekas pengurus di sebuah bank terkemuka di Terengganu dan keluarga terutama ibu saudaranya mempunyai nama yang dikenali sebagai pembekal nasi dingin yang sudah tersemat di hati warga Kuala Lumpur kerana enaknya nasi berlauk itu.
Dia tidak mahu menumpang tuah dan nama keluarga, sebaliknya menggunakan ilmu perniagaan yang ditimbanya dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) untuk membuka pernigaan sosej kukus secara steambot yang mendapat sambutan luar biasa.
Jauh pilihan perniagaannya daripada nasi berlauk yang menjadi nadi perniagaan utama.
Amir mahukan kelainan dalam cabang niaga dengan memilih menjual pelbagai jenis sosej yang menjadi pilihan lapisan. Daripada kanak-kanak sehingga dewasa.

Bertemu dengan anak muda ini di kedai keduanya, bertempat di Restoran Fizow, Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu, pada mulanya, Opah tak tahu dia adalah seorang usahawan muda yang hebat, sekali gus tauke kedai itu.
Di sebaliknya wajah lembut dan nampak pemalu itu, Amir hanya berpakaian baju-T ringkas saja melayan pelanggan termasuk Opah untuk membuat pilihan sosej.
"Tak malu ke dengan kawan-kawan?" tanya Opah mahu mencungkil rahsianya.
Ternyata jawaban Amir sangat mengujakan. "Saya yang mahu dan memilih berniaga sosej ini, Saya mulakan dari bawah, membina nama dan setakat ini sambutan yang sangat luar biasa, saya ada satu lagi cawangan di Pengkalan Kubur, Tumpat."
Terkejut Opah bila diberitahu kedai yang sedang dijaganya itu paling laku dan ada kalanya beribu jualan dalam seharian.
Modal yang Amir belanjakan adalah RM500 sehari dan pemikat utama pelanggannya adalah sos cili dan hijau yang digunakan untuk cicahan sosej itu dibuat sendiri. Yang lebih menyedapkan bila ada hirisan sosej, rangup krup..krap.


Pada masa ini, dia tidak cukup kakitangan kerana Amir perlu dalam berhati-hati memilih pembantu kedai kerana yang paling diutamakan ialah pekerja kena jujur sebab membabitkan pengendalian wang keluar masuk yang banyak.
Tindakan membuka perniagaan yang jarang diterokai itu, rupa-rupa mendatangkan hasil yang lumayan dan dia kini dalam usaha membuka lebih banyak cawangan terutama di Kuala Lumpur. Namum katanya dia sentiasa kena teliti dan peka dalam mencari rakan kongsi atau menjual francaisnya di luar Kelantan.
Bercerita pengalamannya membuka kedai ini, Amir berkata lima tahun lalu selepas membantu keluarganya terutama ibu saudaranya, Ruslina Dollah yang juga pengasas Husna Nasi Berlauk Air Dingin, dia terfikir mahu membuka perniagaan sendiri tapi tidak tertumpu kepada restoran nasi semata-mata.
Ini kerana ada banyak perniagaan yang berpotensi maju terutama di Kota Bharu dan Tumpat -- lokasi menjadi tumpuan pengunjung dan anak-anak negeri itu mencari "port makan yang sedap dan unik"
"Saya perlu ada identiti sendiri dan hasil bantuan pembekal sosej dari negara jiran, saya memulakan perniagaan sosej steambot ini. Sehingga kini sambutan yang luar biasa. Kadang-kadang tak cukup tangan untuk melayan." - KitaReporters

Sila pilih... Amir sedang melayan pelanggannya di restoran Fizow di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu.

Ada pelbagai sosej dengan harga berpatutan.