Bisnes & Ekonomi 10 Nov, 2025

Apakah masa depan perdagangan koperasi global? Deklarasi Shanghai bakal lakar strategi! - Angkasa

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) melakar pencapaian penting pada Forum Perdagangan dan Pembangunan ICA: Koperasi Memperkasa Perdagangan dan Rantaian Bekalan Lestari melalui pemeteraian apabila Deklarasi Shanghai: Strategi Pendidikan Bagi Memperkukuhkan Masa Depan Perdagangan Koperasi diumumkan sebagai hala tuju masa depan perdagangan koperasi global. 



Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, Presiden Angkasa merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Perniagaan Ikatan Koperasi Antarabangsa Asia dan Pasifik (ICA-AP) berkata, deklarasi sempena sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (IYC) 2025 itu menjadi penanda penting dalam usaha memperkukuh rangka kerja kerjasama koperasi serantau dan global ke arah ekonomi yang lebih adil, inklusif dan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). 

Menurutnya, Deklarasi Shanghai: Strategi Pendidikan Bagi Memperkukuhkan Masa Depan Perdagangan Koperasi merangkumi 11 tonggak iaitu 

  1. Hala tuju Masa Depan Perdagangan Koperasi; 
  2. Perubahan Iklim dan Kecerdasan Buatan (AI); 
  3. Peranan ICA Melangkaui Perdagangan; 
  4. Pameran Perdagangan Koperasi Dan Keselamatan Makanan; 
  5. SDG Baharu: Melangkaui Tahun 2030; 
  6. Perdagangan Koperasi Berteraskan Pembangunan; 
  7. Menggerakkan Satu Peratus (1%) Golongan Terkaya Dunia; 
  8. Label Koperasi; 
  9. Dasar Kerajaan; 
  10. Sokongan Inisiatif Jalur Dan Laluan (BRI) Terhadap Koperasi; dan
  11. Ekonomi Sosial Dan Solidariti Dan Masa Depan Anggota Koperasi. 



“Ia satu dokumen penting yang menandakan iltizam seluruh rantau untuk membina gerakan koperasi yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan anggota. 

"Deklarasi Shanghai menegaskan bahawa perdagangan koperasi perlu menjadi teras utama kepada strategi pembangunan koperasi masa hadapan, khususnya di rantau Asia Tengah dan Afrika yang sedang pesat membangun.

“Menariknya, deklarasi ini turut mencetuskan wacana global mengenai tanggungjawab golongan satu peratus (1%) terkaya dunia yang menguasai hampir separuh kekayaan global. 

"Mereka digesa untuk menyertai agenda koperasi dalam membiayai inisiatif sosial yang berpotensi mewujudkan pekerjaan besar-besaran serta menghapuskan kemiskinan struktur melalui model ekonomi koperasi.

“Ia juga menekankan keperluan untuk memperkukuh identiti dan pengiktirafan koperasi pada peringkat antarabangsa melalui penjenamaan Co-op Label dan domain “.coop” sebagai tanda dagangan global yang menjamin ketelusan, inovasi digital dan penambahbaikan berterusan. 

"Bagi Malaysia, penyertaan dalam deklarasi ini memperkukuh komitmen negara sebagai rakan strategik dalam memperkasa gerakan koperasi serantau dan global,“ jelasnya.

Abdul Fattah yang turut menyampaikan pembentangan bertajuk Membina Kerangka Kerjasama Serantau Asia-Pasifik: Memperkukuh Kerangka Perdagangan Koperasi dalam sesi perbincangan resolusi tersebut menegaskan bahawa, koperasi bukan sahaja pemangkin kepada ekonomi rakyat, tetapi juga platform penting dalam memperjuangkan keadilan ekonomi dan kesejahteraan sejagat. 



Forum yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah ICA, Jeroen Douglas itu disertai seramai 42 orang wakil ICA termasuk Bangladesh; Bulgaria; China; Fiji; Filipina; India; Itali; Jordan; Kazakhstan; Kenya; Korea; Malaysia; Mongolia; Nepal; Netherlands; Singapura; Sri Lanka dan Vietnam. 

Deklarasi Shanghai kini menjadi dokumen panduan utama yang akan mengemudi hala tuju gerakan koperasi antarabangsa dalam dekad mendatang, dengan tekad bersama untuk membina masa depan perdagangan yang adil, inklusif dan berasaskan nilai kemanusiaan sejagat. - KitaReporters/Kenyataan Media

15
17
0
9
0
You will be interested