.
Lonjakan Malaysia ke tangga ke-23 dalam Laporan Penarafan Daya Saing Dunia (World Competitiveness Report atau WCR) 2025 merupakan satu pencapaian yang tidak wajar dipandang remeh.
Ia menandakan bahawa negara semakin diyakini pada mata dunia, khususnya dalam aspek ekonomi, tadbir urus dan kecekapan institusi.
KitaReporters menyambut baik laporan ini sebagai pengiktirafan terhadap usaha reformasi yang telah dirintis oleh kerajaan Malaysia Madani pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini bukan kemenangan individu, tetapi pencapaian negara secara kolektif hasil keberanian untuk memperbaiki sistem dan dasar.
Namun, pada masa sama kita tidak harus alpa. Peningkatan kedudukan dalam indeks global tidak boleh menjadi sekadar bahan publisiti.
Apa yang lebih penting ialah bagaimana pencapaian ini mampu menterjemah kesejahteraan sebenar kepada rakyat sama ada dari segi kestabilan harga barang, peluang pekerjaan, pendidikan berkualiti mahupun perkhidmatan kerajaan yang cekap dan berintegriti.

Rakyat mahukan perubahan yang mereka boleh lihat dan rasai, bukan hanya angka dalam laporan antarabangsa. Mereka tidak menolak data atau statistik, tetapi menuntut realiti yang seiring dengan prestasi atas kertas.
Lebih penting, kerajaan perlu meneruskan momentum ini. Jangan terleka dengan pujian luar sedangkan di dalam negara masih banyak jurang dan cabaran yang perlu ditangani.
Ketelusan, integriti dan kecekapan harus menjadi asas kepada semua tindakan kerajaan, bukan sekadar slogan yang lunak pada telinga.
Reformasi sebenar ialah apabila kejayaan negara menjadi kejayaan rakyat.
Apabila indeks ekonomi yang meningkat turut membawa bersama harapan baharu buat penjaja kecil, anak muda pencari kerja, ibu bapa di pedalaman dan pesara yang menagih kebajikan.
KitaReporters percaya, jika reformasi terus dilaksana dengan kejujuran dan keberanian, bukan sahaja ranking dunia akan terus meningkat, malah keyakinan rakyat terhadap masa depan negara juga akan semakin kukuh.
Rakyat tidak antikejayaan. Mereka hanya mahu kejayaan itu mengakar di bumi, bukan terus menjadi sasaran yang menggapai di langit!! - KitaReporters

