Bisnes & Ekonomi 24 Jun, 2025

Peringatan PM! Isu kelewatan projek tak boleh berulang! Transformasi ekonomi bumiputera terus dipacu!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu kelewatan projek dan kerenah pentadbiran atau birokrasi yang berakar sejak era 1980-an tidak boleh dibenarkan berulang.

"Saya tegaskan bahawa isu kelewatan projek dan kerenah pentadbiran yang berakar sejak era 1980-an tidak seharusnya terus berulang. 

"Kita tidak punya ruang untuk mengulangi kegagalan yang sama. Masa tidak menunggu kita, dan rakyat pula menuntut tindakan, bukan alasan.

"Kerajaan Madani mesti bergerak lebih proaktif, bertindak dengan kecekapan, dan berfokus pada penyelesaian yang tuntas. Setiap sen peruntukan Rancangan Malaysia wajib dimanfaatkan sebaiknya demi kesejahteraan rakyat," jelas beliau pada 23 Jun 2023.

Anwar menegaskan demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negara Bil. 1/2025 bagi meneliti tiga perkara utama iaitu cadangan hasil Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri, penambahbaikan pelaksanaan projek oleh Jabatan Kerja Raya; serta pelaksanaan sekolah vertikal di kawasan bandar utama.



Beliau mahu segala isu teknikal yang melibatkan pelbagai agensi daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kerajaan Negeri, sehingga agensi pelaksana dan pemilik projek, diselesaikan segera melalui Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

"Dalam perbincangan tadi, saya turut tekankan keperluan mendepani realiti pembangunan bandar yang semakin padat. 

"Kerana itu Kerajaan komited memperkenal pendekatan baharu dalam penyediaan infrastruktur pendidikan melalui model sekolah vertikal di lokasi seperti Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pulau Pinang.

"Dengan dukungan pemaju swasta, KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) dan Kementerian Pendidikan akan bergandingan erat.

"Ini untuk menjayakan inisiatif ini agar akses kepada pendidikan berkualiti kekal terjamin buat anak-anak warga kota walaupun di tengah keterbatasan ruang," ujar beliau.



Terdahulu di sebelah pagi, Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pelaburan Bumiputera bagi meneliti prestasi semasa syarikat-syarikat di bawahnya.

Dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, beliau menegaskan, keperluan untuk semua yang dipertanggungjawab agar terus memperkukuh daya saing ekonomi domestik serta menjamin pulangan mampan kepada para pemegang unit amanah.

"Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) perlu menggandakan usaha meningkatkan tahap celik pelaburan dalam kalangan masyarakat, khususnya Bumiputera.

"Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) pula harus kekal komited memperkasa usahawan Bumiputera melalui akses kepada pembiayaan serta sokongan peningkatan kapasiti dan keupayaan perniagaan," katanya lagi.

Anwar juga mengingatkan semua agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang memegang mandat pembangunan Bumiputera mesti terus menjadi pemacu dasar dan pelaksana utama inisiatif Kerajaan.

"Ini khususnya menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) yang telah pun dilancarkan," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


14
4
0
7
0
You will be interested