Bisnes & Ekonomi 22 Jul, 2023

Harga barangan melambung! Perkasa Suruhanjaya Persaingan Malaysia! Bagi bendung kartel! - Ismail Sabri

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this

Kerajaan diminta supaya mengambil tindakan tegas terhadap 'kartel' yang memonopoli pasaran  sehingga menyebabkan harga barangan keperluan melambung tinggi.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kewujudan aktiviti ‘kartel’ dan penyalahgunaan kuasa dominan pasaran ternyata memberi kesan yang negatif kepada persaingan.
Beliau berkata, ia juga menyekat aktiviti perniagaan terutamanya peniaga-peniaga kecil untuk bersaing secara sihat dalam pasaran negara.
"Lihat bagaimana kartel yang menguasai perusahaan industri ternakan ayam memanipulasi pasaran untuk kepentingan mereka pada tahun lalu (2022).
"Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) berjaya mengesan lima syarikat pengeluar makanan ayam yang menjadi kartel menaikkan kuantum harga makanan ternakan itu yang melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010. 
"Bagaimanapun tidak diketahui apa yang terjadi selanjutnya terhadap siasatan ini kerana tampuk pemerintahan negara telah bertukar tangan. Apakah status terkini tentang isu kartel?" tanyanya. 


Ismail Sabri berkata demikian dalam artikel tulisannya yang disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini (22 Julai 2023). Ahli Parlimen Bera itu menulis dalam ruangan Jalar Fikir pada setiap hari Sabtu minggu pertama dan ketiga setiap bulan.
Ismail Sabri berkata,  bagi mengatasi masalah kartel yang memonopoli pasaran beliau mencadangkan supaya Akta Persaingan 2010 dan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) diperkasakan.
"Kerajaan harus memberi lebih penekanan terhadap aktiviti MyCC seperti menempatkan pakar-pakar yang mahir dan profesional dalam organisasi serta struktur penguatkuasaan MyCC yang lebih berkesan dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010. 
"Bukan itu sahaja, Akta Persaingan 2010 juga perlu dipinda bagi memastikan undang-undang persaingan negara lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa," katanya.  
Tambahnya, proses pindaan tersebut telah dimulakan ketika pentadbiran Kerajaan Keluarga Malaysia  dan saya berharap tindakan tersebut diteruskan oleh Kerajaan hari ini. 
"Pindaan ini memberikan MyCC kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran dan boleh menjurus kepada monopoli oleh kartel," katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
10
0
13
0
You will be interested