Meriah sungguh! Pameran pertanian, Perak Agrofest (Festival Pertanian Perak) 2025 yang berlangsung di Ladang Infoternak, Sungai Siput Utara, dekat Kuala Kangsar dari 26 hingga 28 September 2025 dibanjiri hampir 300,000 pengunjung.

Lebih menarik, jualan produk pertanian dan makanan sudah mencecah RM2.5 juta sejak pameran bermula.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang turun padang sendiri teruja melihat sambutan luar biasa itu.
Malah, beliau yakin unjuran jualan boleh melepasi sasaran RM4 juta kerana ada Jualan Rahmah pada penghujung penutupan Perak Agrofest pada 28 September 2025 .
“Biasanya malam terakhir memang meriah dengan jualan murah. Jadi insya-Allah, target sasaran 400,000 orang pengunjung dapat dicapai,” katanya pada majlis penutup Perak Agrofest 2025.
Saarani menyifatkan edisi pada tahun 2025 ini sebagai yang terbaik berbanding tahun-tahun sebelum.
Ini kerana promosi mantap, penganjuran tersusun dan paling penting – penyertaan anak muda semakin ramai.
“Saya sendiri teruja tengok orang datang berpusu-pusu. Ini yang terbaik setakat ini,” katanya.


Menurut Saarani, ada cadangan supaya acara ini dibuat setiap tahun, tapi menurutnya ia tidak boleh diadakan setiap tahun kerana perlu bergilir dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
"Jadi, pameran ini dijangka kembali semula pada tahun 2027," ujarnya.
Beliau menjelaskan, sebelum ini, Agrofest pernah diadakan di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng tetapi tidak sesuai kerana tempat tidak mencukupi.
Dalam pada itu, Saarani berkata, pembangunan industri tidak sesekali akan menenggelamkan sektor pertanian.
“Kita ada tanah pertanian yang subur. Jadi kita kena bangunkan pertanian untuk bekalan makanan negara.
"Pada masa sama, industri pula sediakan lebih banyak peluang kerja. Bila rakyat ada gaji tetap, mereka pun akan berbelanja beli produk pertanian. Dua benda berbeza tapi saling melengkapi,” jelasnya.

Bercakap mengenai beras, Saarani berkata, kadar tahap sara diri (SSL) beras di negeri Perak kini berada pada kadar 93 peratus berbanding 103 peratus sebelum ini.
Puncanya? Tanah sawah yang tidak sesuai serta faktor perubahan iklim menyebabkan bekalan air kurang.
“Kerajaan negeri sekarang sedang usahakan projek pemindahan air dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah.
"Kalau bekalan air cukup, kita yakin boleh kembali capai SSL 100 peratus atau lebih,” katanya
Menurut beliau, kawasan Kerian pula terus diperkasa sebagai jelapang padi kedua terbesar negeri bagi memastikan Perak terus kekal sebagai penyumbang utama hasil beras negara.
"Pendek kata, bukan sahaja pameran pertanian kali ini mencatat sejarah, malah ia jadi bukti sektor pertanian dan industri boleh bergerak seiring demi kesejahteraan rakyat Perak," ujarnya. - KitaReporters
