
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Pekerjaan Kebangsaan (NEO) Belgium menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan lagi sistem keselamatan sosial di Malaysia yang masih berkembang dan beberapa aspek boleh diperkukuh, terutama dalam skim perlindungan keselamatan insurans pekerjaan.
Menurut Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menyasarkan untuk terus memperkukuh sistem perlindungan sosial dan perkhidmatan pekerjaan menerusi MoU yang dimeterai antara PERKESO dan NEO.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara kedua-dua negara membuka ruang baharu untuk perkongsian pengetahuan, di samping berpotensi mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan, khususnya dalam aspek perkhidmatan pekerjaan dan perlindungan keselamatan sosial.
“Kolaborasi PERKESO dan NEO menandakan komitmen KESUMA untuk menerapkan amalan terbaik global yang juga dijangka mampu memacu inovasi dan memperkukuh keupayaan Malaysia dalam menghadapi cabaran pasaran kerja yang sentiasa berubah.
“Jika dibandingkan dengan Belgium, sistem keselamatan sosial di Malaysia masih berkembang dan beberapa aspek boleh diperkukuh, terutama dalam skim perlindungan keselamatan insurans pekerjaan dan lain-lain aspek termasuk penguatkuasaan, liputan dan integrasi yang melibatkan kedua-dua sektor pekerjaan formal dan tidak formal,” katanya.

Pertukaran dokumen MoU disempurnakan oleh Edmund Cheong Peck Huang (dua dari kanan) dan Dr. Jean Marc Vandenbergh (kiri) sambil disaksikan oleh Steven Sim (dua dari kiri) dan Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa majlis pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Pejabat Kebangsaan Pekerjaan Belgium (NEO) di Brussels, pada 7 Jun 2025.
Pertukaran MoU berkenaan disempurnakan oleh Timbalan Ketua Eksekutif (Strategi dan Korporat) PERKESO, Edmund Cheong Peck Huang, dan Ketua Pegawai Eksekutif NEO, Dr. Jean Marc Vandenbergh, sambil disaksikan oleh Steven Sim; Duta Malaysia ke Belgium, Luxembourg dan Kesatuan Eropah, Dato' Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak; bersama Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO, Gayathri Vadivel.
Melalui kolaborasi ini, PERKESO berpeluang meneroka transformasi digital, strategi dan pembangunan dilaksanakan NEO, selain mendalami usaha membanteras penipuan rentas sempadan di peringkat global.
Mengulas lanjut, Steven Sim menyifatkan bahawa Belgium mempunyai sistem perlindungan sosial yang kukuh dengan faedah pengangguran dan program latihan semula yang berkesan, di samping terkenal dengan program latihan vokasional yang unggul serta kepakaran dalam sektor teknologi tinggi dan inovasi.
“Kerjasama ini turut merangkumi sektor teknologi dan inovasi, yang berpotensi memperkukuh dasar pekerjaan dan perlindungan sosial untuk menjamin kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya. - KitaReporters/Kenyataan Media
