
Kredit foto: thesun.my
Projek pemindahan air dari Sungai Perak ke kolam Bukit Merah di Bagan Serai, Perak perlu disegerakan. Ia bagi menjamin kelangsungan tanaman padi di Daerah Kerian, yang kini berdepan krisis air yang serius kerana Kolam Bukit Merah, sebuah tasik buatan manusia sudah berusia lebih 110 tahun.
Pengerusi
Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak (PPNP), Datuk Sham Mat Sahat berkata, keperluan
air untuk system pengairan tanaman padi, minuman dan perindustrian begitu
mendesak kerana Kolam Bukit Merah tidak lagi mampu menampung keperluan tersebut.
Katanya, kecurian air bagi projek ternakan ikan Arowana turut menjejaskan bekalan air.
“Saya harap projek pemindahan air dari Sungai Perak disegerakan demi masa depan kawasan jelapang padi Perak di Kerian.
"Selain itu, usaha mendalamkan dasar kolam (Kolam Bukit Merah) berkenaan juga berisiko kerana struktur tanahnya yang bergambut, sekali gus tidak dapat menampung bekalan air,” katanya selepas menerima cek replika dalam Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak 2025 di Dewan Dato’ Zainal Abidin Zin, di Bagan Serai, Perak pada 3 Jun 2025.
Sebanyak RM450,000 diperuntukan bagi Program Pemilikan Jentera Kecil dan Sederhana Secara Geran Padanan (RP5). Daripada jumlah itu, kawasan Utara memperolehi RM269,382.20, Selatan (RM117,533.80) dan Tengah (RM63,084.00).

Sham Mat Sahar (dua, kiri) menerima replika cek berjumlah RM8.413 juta pada Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak 2025 di Bagan Serai, Perak.
Sham berkata, krisis pengairan yang berlaku bukan sahaja menjejaskan hasil tanaman padi malahan memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan negara kerana Kerian merupakan kawasan pengeluaran padi utama di Perak.
Beliau turut
mencadangkan agar peruntukan tambahan segera disalurkan bagi kerja-kerja
penyahgambutan dan pembersihan dasar Kolam Bukit Merah supaya kapasiti takungan
air boleh bertambah selain menunggu projek
pemindahan air dari Sungai Perak dilaksanakan.
“Isu ini
bukan sementara, tetapi masalah itu berlarutan bertahun-tahun,” ujarnya.
Menurut
Sham, selain kekurangan air ketika musim kemarau, daerah Kerian juga berisiko
di landa banjir apabila air kolam itu terpaksa dilepaskan pada waktu hujan
lebat.
“Lima hingga enam buah kampung sering dilanda banjir dan penduduk perlu dipindahkan ke pusat pemindahan sementara,” katanya.

Arthur Joseph Kurup (depan, empat dari kiri) pada Majlis Penyerahan Jentera dan Peralatan Pertanian Peringkat Negeri Perak 2025.
Sementara
itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph
Kurup berkata, pihaknya sedang mengkaji dan mendapatkan maklum balas daripada pihak
negeri berhubung projek pemindahan air ke Kolam Bukit Merah.
"Ia akan dipertimbang dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13). Kertas cadangan
perlu dikaji bagi mengenal pasti keperluan tersebut,” katanya. - KitaReporters