Bisnes & Ekonomi 28 Jun, 2023

Syabas L'Oreal! Kerjasama dengan TVET! Perkenal inisiatif bagi pengkhususan dalam bidang kosmetologi!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


L'Oreal Malaysia menyahut seruan kerajaan Malaysia Madani dalam kerjasama industri untuk menangani isu ketidakserasian kemahiran bakat dalam kalangan graduan hari ini dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) selama lima tahun dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV). 

Memorandum Persefahaman itu bakal menyaksikan L'Oreal Malaysia dan TVET bekerjasama bagi memperkenal pelbagai inisiatif untuk 17 kolej vokasional tempatan yang menawarkan pengkhususan dalam bidang kosmetologi. 

Kerjasama ini menyasarkan untuk melatih pelajar kosmetologi yang dipersiap untuk masa depan keperluan pasaran kerja menerusi latihan dan peningkatan kemahiran, memudah cara pemindahan ilmu pengetahuan, serta menyediakan peluang latihan industri. 



L'Oreal Malaysia diasaskan di Kuala Lumpur pada tahun 1995 dan menawarkan produk berteknologi tinggi paling maju dalam setiap kategori kecantikan. 

Syarikat itu kini menawarkan pelbagai produk penjagaan diri menerusi 12 jenama ikonik: L'Oreal Paris, L'Oreal Professionnel, Garnier, Maybelline New York, Lancôme, Yves Saint Laurent Beauty, Armani Beauty, Kiehl's, shu uemura, IT Cosmetics, Kérastase dan La Roche-Posay. 

Timbalan Pengarah Kanan, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zulkernai Fauzi berkata, “Dengan Kerjasama Awam Swasta (PPP) yang dinamik antara Kementerian Pendidikan dan L'Oreal Malaysia, kami akan melaksanakan langkah-langkah bagi melengkapkan para guru dan graduan dengan kemahiran terkini dan menguasai kemajuan teknologi terbaharu untuk menangani ketidakpadanan kemahiran dan meningkatkan kebolehpasaran graduan. 

"Kami percaya bahawa kerjasama jangka panjang ini akan memberikan manfaat besar kepada pelajar dan guru kosmetologi kami, terutama dalam memastikan bahawa mereka mempunyai kemahiran dan kepakaran yang memenuhi keperluan industri kecantikan. 

"Kami turut memuji L'Oreal Malaysia kerana sokongan mereka. Ini adalah kerjasama menang-menang untuk negara apabila sektor awam dan swasta saling berganding bahu. 

"Kami juga berharap pada masa depan, kerjasama ini turut merangkumi peluang untuk pelajar dalam bidang perniagaan kami mendapatkan ilmu pengetahuan dan latihan perniagaan yang tidak ternilai dari industri kecantikan.” 

Pengarah Urusan L'Oreal Malaysia, Tomas Hruska berkata, “Di L'Oreal, matlamat kami ialah untuk Mencipta Kecantikan yang Menggerakkan Dunia. 

"Kami percaya bahawa kejayaan sesebuah syarikat bukan hanya diukur pada prestasi ekonomi sahaja, ini kerana sumbangan dari segi sosial dan alam sekitar juga adalah penting. 

"Di Malaysia, kami komited untuk mengembangkan perniagaan kami dengan cara yang bertanggungjawab, mampan dan inklusif. 

"Kerjasama kami selama lima tahun dengan Kementerian Pendidikan Malaysia menjadi bukti komitmen kami dalam membantu komuniti danmemperkasa industri dengan bakat-bakat yang berkemahiran.” - KitaReporters/Kenyataan Media


12
13
0
11
0
You will be interested