
Beras merupakan makanan ruji rakyat negara ini dan kerana itu bekalan beras amat diperlukan bagi memastikan ia berada di pasaran.
Perak merupakan salah sebuah negeri jelapang padi kedua selepas Kedah yang mengeluarkan padi dan beras bagi keperluan rakyat.
Selepas
jenama Bawang Perak, Kerajaan negeri Perak dijangka mengeluarkan satu lagi
jenama iaitu Beras Perak Sejahtera.
Hasrat itu
dilontarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan,
Pertanian Dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun yang mengadakan
lawatan ke Gudang Beras Yop Zainan Sdn Bhd di Kuala Kurau, Perak pada 19 Julai
2025.
“Saya akan kemukakan cadangan itu dalam mesyuarat Exco dan kerajaan negeri untuk dipersembah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah untuk diperkenan,” katanya pada Majlis Pengiktirafan Beras Tempatan Perak di Gudang Beras Yop Zainan.

Mohd Zolkafli Harun (tiga dari kanan) menunjukkan replika sijil Pengiktirafan Beras Tempatan Perak selepas Majlis Pengiktirafan Beras Tempatan Perak di Gudang Beras Yop Zainan Sdn Bhd di Kuala Kurau, Perak.
“Kilang ini memerlukan dana RM1 juta
untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran termasuk menaik taraf
kilang ini dalam usaha mengeluarkan beras bermutu tinggi.
“Saya akan bantu dan akan kemukakan permohonan
kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) yang
akan datang ke Seberang Perak,” katanya.
Menurut Mohd Zolkafly, beras merupakan makanan asas rakyat.

Mohamad Termizi Yop.
Kilang beras Yop Zainan, berusia 54
tahun kini diuruskan oleh Mohamad Termizi Yop, yang menjadi Pengarah Urusan Yop Zainan
Sdn Bhd.
Kilang Beras Yop Zainan merupakan
pengeluar beras terbesar di Perak dengan kapasiti pengeluaran 300,000 tan
sebulan untuk pasaran di Perak, daerah Kerian dan Taiping.
Kilang ini kini mengeluarkan beras
jenama Baiduri Cap Gajus, selain menjadi pemborong minyak masak dan susu di
bawah lesen sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara
Hidup (KPDN).
Selain gudang di Kuala Kurau, Yop Termizi mempunyai sebuah lagi kilang memproses padi di Kampung Titi Kasai, Batu Kurau, Perak. - KitaReporters
