Bisnes & Ekonomi 16 Jan, 2024

Syabas G&T Hyper Hardware! Sasar terajui industri hardware terbesar Bumiputera! Di bawah 1 bumbung!

@fariza saidin
Editor pertama Majalah HAI dan sidang redaksi Majalah WANITA (Utusan). Asst Chief Sub UM. Pemenang Anugerah Kewartawan Majalah IAM 1997, Wartawan cum Blogger @ www.farizasaidin.com. Email: [email protected]

Share this


Apabila sebut  perihal kedai perkakasan (hardware), lazimnya ia diusahakan oleh masyarakat Cina namun kini perniagaan itu sudah diterokai satu-satunya bumiputera apabila G&T Hyper Hardware Sdn Bhd memulakan operasinya  pada 23 Disember tahun lalu (2023).

Terletak di Batu 16, Sungai Pelong. di kawasan bersaiz 30,000 kaki persegi, G&T Hyper Hardware milik pasangan suami isteri, Bermawi Bagindo Jaba dan Nurul Farhana Zainuddin ini menyediakan lebih kurang 4,000 unit simpanan stok (SKU) meliputi barangan logam, batu, jubin, marmar dan banyak lagi di bawah satu bumbung.

“Kami berbangga menjadi satu-satunya syarikat perkakasan yang menekankan konsep pusat sehenti, memastikan kemudahan untuk pengguna akhir, syarikat pembinaan dan seterusnya,” ujar Bermawi ketika ditemui pada majlis prapelancaran pusat sehentinya itu di Sungai Buloh pada Isnin, 15 Januari 2024.



Dari kiri: Low Cheng Ho, Bermawi Bagindo dan Nurul Farhana. - Foto: FAS.


Turut hadir menyokong usahanya itu adalah Pengerusi Persatuan Pemborong Barangan Logam Malaysia, Low Cheng Ho.

Menurut pengusaha berasal dari Indonesia ini,  idea membuka kedai G&T Hyper Hardware yang dinamakan sempena abjad awal dua anak lelakinya, Guruh Aras, 13, dan Teguh Syahadat, 12, tercetus selepas mengalami kesukaran mendapatkan bahan-bahan binaan rumah sehingga terpaksa memandu jauh dari satu negeri ke satu negeri lain memandangkan stok setiap satu bahan berada di merata tempat. 

“Ada setengah barang saya terpaksa beli di sebelah utara dan ada juga di timur atau selatan, memang mengambil masa lama,” kenang Bermawi atau lebih dikenali dengan panggilan Hj Ben.

Sehubungan itu, katanya lahirlah idea untuk membuka pusat sehenti perkakasan di mana semua keperluan barang-barang yang wajib untuk pembinaan sebuah rumah boleh diperoleh di bawah satu bumbung.



Membelanjakan lebih kurang RM5 juta hingga RM10 juta untuk kos pembinaan G&T Hyper Hardware, Hj Ben merancang meluaskan perniagaannya dengan pembukaan lima atau enam lagi cawangan sekitar Lembah Klang dalam tempoh lima tahun,

“Saya sudah mengenal pasti sebuah kawasan di Semenyih sebagai cawangan kedua dijangka dalam bulan September tahun ini (2024) selepas siap sepenuhnya fasa kedua di sini (Sungai Buloh),” ujar beliau sambil berhasrat mengubah persepsi masyarakat yang memandang berkunjung ke kedai 'hardware' itu selalu berdebu dan kotor sehingga kaum wanita  jarang nak pergi, namun G&T Hyper Hardware di Sungai Buloh ini mempunyai ruang luas untuk parkir kereta malah dilengkapi surau sekali gus mengutamakan kebersihan.



Sementara itu, isteri tercintanya, Nurul Farhana  atau lebih mesra disapa Hanna, memberitahu, sebagai Pengurus G&T Hyper Hardware, beliau yang selama ini tidak tahu menahu tentang bisnes ‘hardware’ kini sudah faham sedikit sebanyak barangan yang berkaitan dengan perkakasan seperti besi, logam dan sebagainya.

“Saya mahu mencabar diri sendiri dan menjadi inspirasi kepada wanita lain,” ujar Hanna yang sebelum ini menceburi bidang yang khusus disukai wanita iaitu industri fesyen dan hartanah.



Mengelolakan G&T Hardware, harapan Hanna bersama suami, agar perniagaan mereka mendapat sambutan dengan visi untuk menerajui sektor pembekalan perkakasan di Lembah Klang, sekali gus membantu perkembangan ekonomi negara.

Tambah Hanna, selain menetapkan matlamat untuk membina lima lagi cawangan pada tempoh lima tahun mendatang, G&T Hyper Hardware turut merancang untuk mengembangkan jejaknya ke seluruh negara bertujuan menjadi pilihan utama dan peneraju industri masa depan seperti di sebelah utara, selatan dan timur.

“Kami juga ke arah penyenaraian syarikat pada masa hadapan di 'Public Listed Company' serta mengukuhkan komitmen terhadap  pertumbuhan dan kecemerlangan dalam industri perkakasan runcit,” sambung Hj Ben mengakhiri perbualan.

Dalam pada itu, sebagai langkah lebih proaktif, G&T Hyper Hardware telah mengembangkan rangkaian produknya untuk memasukkan peralatan rumah dan elektrik dengan berkolaborasi bersama jenama ternama antaranya seperti Sharp selain memasarkan peralatan pam air dan keperluan DIY. - KitaReporters


13
14
0
12
0
You will be interested