Bisnes & Ekonomi 11 May, 2025

Syabas STML UUM! Peryertaan kali ketiga dalam LIMA! kolaborasi strategik sektor akademik, industri!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this


Semuanya tersedia untuk LIMA '25  pada 22 dan 23 Mei 2025.

The Chartered Institute of Logistics and Transport Malaysia (Institut Bertauliah Logistik dan Pengangkutan Malaysia atau CILTM) akan menganjurkan sesi Diskusi Meja Bulat dan Pelan Tindakan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA '25) pada 22 dan 23 Mei 2025. Acara ini akan berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang di Langkawi, Kedah.

Bertemakan "Sustainable Integration of Logistics, Transportation, Arts and Cultural Heritage: Enhancing Resilience and National Defense," sesi ini bertujuan untuk membincangkan strategi mampan dalam mengintegrasikan logistik, pengangkutan, seni, dan warisan budaya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh daya tahan serta pertahanan negara.


Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar


Menurut Prof. Madya Dr. Rohafiz Sabar, Pengerusi CILTM Kedah & Perlis dan juga merupakan Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Universiti Utara Malaysia (UUM), ini merupakan penyertaan kali ketiga STML dalam acara berprestij LIMA, yang menekankan pentingnya kolaborasi strategik antara sektor akademik dan industri.

"Penyertaan kali ketiga STML dalam LIMA membuktikan komitmen kami dalam menyokong agenda negara untuk memperkukuh sektor logistik, pengangkutan, dan keselamatan. 

"Kami melihat ini sebagai platform penting untuk berkongsi pengetahuan, bertukar pandangan, dan merangka strategi mampan bagi mempertingkat daya tahan negara," katanya.


Pelajar Sarjana UUM bersama Dr Rohafiz (tengah) bersedia gegarkan LIMA '25.


Dr. Rohafiz turut menambah bahawa integrasi mampan antara logistik, pengangkutan, seni, warisan budaya dan ketahanan nasional bukan sahaja memperkukuh ekonomi negara, malah membentuk identiti nasional yang kukuh, sekali gus memastikan keselamatan dan daya tahan negara pada masa hadapan.

Diskusi ini akan melibatkan pakar industri, ahli akademik, penggubal dasar, dan pemimpin sektor logistik serta pengangkutan untuk bertukar pandangan mengenai cabaran dan peluang dalam memperkukuh sistem logistik negara. 

Selain itu, fokus akan turut diberikan kepada usaha memperkasa ekonomi budaya sebagai salah satu aspek penting dalam pertahanan nasional.

Acara ini dianjurkan dengan sokongan penuh daripada CILTM dan  Pusat Logistik dan Pengangkutan (CeLT), Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk pemimpin masa hadapan dalam sektor logistik dan warisan budaya  yang dinamik dan berdaya saing. - KitaReporters


Antara pengisian program LIMA '25 nanti.


LIMA '25 Langkawi mulai 20 hingga 24 Mei 2025

18
10
0
12
0
You will be interested