Kerajaan Madani menyediakan dana sehingga RM100,000 kepada komuniti terpilih di bawah program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi merancakkan ekonomi setempat. Pembinaan sekolah juga dijadikan syarat bagi projek perumahan berskala besar, manakala sekolah vertikal diperluas. - KitaReporters

Kerajaan Madani menyediakan dana sehingga RM100,000 kepada komuniti terpilih di bawah program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi Madani) bagi merancakkan ekonomi setempat.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia suatu pendekatan unik yang dibina atas aspirasi rakyat, digerakkan oleh rakyat dan untuk manfaat rakyat.
"Usaha membasmi kemiskinan secara menyeluruh terus menjadi teras utama dalam RMK13 (Rancangan Malaysia Ke-13).
"Ia tidak hanya menyentuh soal pendapatan atau kuasa membeli, tetapi melibatkan pendekatan lebih holistik dengan membina peluang, memperkasa komuniti dan mengangkat mobiliti sosial rakyat tanpa mengira kaum, agama atau wilayah," jelas beliau ketika membentangkan rancangan sepuluh tahun negara itu di Dewan Rakyat pada 31 Julai 2025.
Antara inisiatif yang digerakkan ini, katanya, ialah Program SejaTi MADANI, yang menyediakan dana sehingga RM100,000 kepada komuniti terpilih bagi merancakkan ekonomi setempat.
"Ia suatu pendekatan unik yang dibina atas aspirasi rakyat, digerakkan oleh rakyat dan untuk manfaat rakyat," tegas beliau.
Selain itu, ujar Perdana Menteri, RMK13 turut membawa reformasi besar dalam pendidikan dengan peruntukan RM67 bilion untuk membina dan menaik taraf sekolah, termasuk prasekolah di kawasan desa.
Pembinaan sekolah, katanya, juga dijadikan syarat bagi projek perumahan berskala besar, manakala sekolah vertikal diperluas untuk atasi isu kepadatan.
"Kerajaan turut mewajibkan prasekolah pada umur lima tahun dan memperkukuh sistem pendidikan agar setaraf piawaian antarabangsa.
"Penekanan diberi kepada STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), asas AI (Kecerdasan Buatan), penguasaan bahasa, serta latihan dan pemilihan guru secara lebih telus dan berkesan," tambahnya.
Sementara itu, reformasi kesihatan menjadi tumpuan penting dalam RMK13 dengan peruntukan RM40 bilion bagi memperluas akses rawatan berkualiti.
"Kerajaan juga akan memperluas cukai prokesihatan untuk merangkumi tembakau, vape dan alkohol, selain menggalakkan pengeluaran ubat tempatan bagi menjamin bekalan.
"Hospital dan klinik kerajaan akan dinaik taraf termasuk di Seremban, Johor Bahru, Sabah dan Sarawak.
"Pembangunan profesional tenaga kesihatan diperkasa, manakala sistem digital kesihatan akan ditambah baik dengan teknologi AI bagi meningkatkan kualiti penjagaan rakyat," kata Anwar. - KitaReporters/Kenyataan Media
