Kegigihan dua anak muda yang merupakan adik beradik kembar mengusahakan Gerai Si Kembo Coconut Shake telah mendapat sambutan yang luar biasa dari penduduk di sekitar Jeram, Selangor.
Muhammad Shamin Jamaluddin dan Muhammad Syafiq Jamaluddin, 22 tahun, mereka tidak menyangka gerai yang diusahakan secara kecil-kecilan pada awalnya mendapat sambutan hangat dari penduduk sekitar.
Mereka yang berniaga dari jam 10 pagi hingga 7 petang di Taman Jujur, Simpang Tiga, Jeram, Selangor turut dibantu beberapa rakan mereka apabila perniagaan mereka mula mendapat sambutan dalam kalangan penduduk setempat.
Bercerita mengenai pengalaman berniaga, Muhammad Syafiq memberitahu, selepas tamat SPM pada tahun 2019, masa tu mereka berusia 18 tahun, mereka tidak tahu nak buat apa, seorang kakaknya mencadangkan agar mereka berdua berniaga. Malah kakak mereka yang memberi modal permulaan berniaga sebanyak RM1,500.
Ditanya mengapa memilih untuk menjual air kelapa dan coconut shake Muhammad Shamin pula memberitahu, mereka melihat air kelapa ada potensi untuk laku kerana air kelapa banyak khasiatnya dan biasanya ramai yang membeli air kelapa untuk air penawar deman, air untuk penawar sakit dan air kelapa juga sangat berkhasiat.
"Menjual air kelapa juga dapat membantu orang, misalnya yang sakit demam perlukan air kelapa boleh mudah dapat daripada kami, begitu juga bagi yang dahaga, air kelapa lebih enak diminum pada waktu tengah hari untuk menghilangkan dahaga," katanya.
Muhammad Shamin (kanan) dan Muhammad Syafiq bersama kakak mereka, Jannatul Suhada Jamaluddin (tengah).
Anak ke-8 dan ke-9 dari sembilan adik beradik ini berasal dari Kapar, Klang, tetapi telah menetap di Jeram, Selangor lebih 10 tahun yang lalu. Ayah mereka seorang pesara polis dan ibu mereka sudah meninggal dunia.
Bercerita mengenai pengalaman pahit yang pernah mereka alami ialah apabila mereka disihir, di mana orang tak nampak kedai mereka.
Bagi kedua kembar ini, usaha dengan gigih dan yakin rezeki itu pada tangan Allah menjadikan mereka sentiasa tabah dalam menjalani kehidupan berniaga.
Mereka berdua berpendapat anak-anak muda mestilah rajin untuk berusaha meningkatkan kehidupan mereka dan mereka boleh mencuba bidang perniagaan.
Bagi kedua kembar ini, mereka bersetuju rajin, tabah dan tidak putus asa adalah kunci kejayaan seseorang.
"Untuk memulakan sesuatu dalam hidup bukan mudah tetapi kita perlu cuba dan terus mencuba agar terus berjaya. Bagi mereka kunci kejayaan ialah sentiasa ingat pada Allah, jangan tinggal solat, jujur ikhlas dan yakin rezeki itu di tangan Allah," jelas mereka.
Shamin dan Syafiq bersama dua rakan yang membantu gerai coconut Shake mereka.
Shamin dan Syafiq bersyukur kerana perniagaan mereka mendapat sambutan daripada penduduk tempatan dan ada juga orang luar yang datang membeli coconut shake dan air kelapa mereka.
Untuk perancangan masa depan mereka berhasrat untuk membuka cawangan Gerai Si Kembo ini tetapi mereka perlu ada perancangan yang teliti untuk mengembangkan rangkaian gerai mereka.
Mereka berharap gerai yang ada ini akan terus maju dan dapat menyediakan coconut shake dan air kelapa yang berterusan buat mereka yang menjadi pelanggan tetap Gerai Si Kembo ini. - KitaReporters