Bisnes & Ekonomi 23 Sep, 2024

Mesin jentera penuai padi! Zakat CIMB Islamic kepada petani asnaf Kedah! Menerusi Lembaga Zakat Kedah!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


CIMB Islamic Bank Berhad memperkukuh sokongan terhadap asnaf di negeri Kedah melalui sumbangan berupa mesin jentera penuai padi bernilai RM298,000 kepada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) di bawah program Smart Sawah Berskala Besar Asnaf (SBBA). 

Sumbangan itu menggunakan Dana Wakalah Zakat CIMB Islamic yang menyokong program tersebut bagi meningkatkan kemahiran petani asnaf tempatan serta menangani isu keselamatan makanan nasional, sekali gus mengurangkan kos pengeluaran dan penyumberan luar padi secara keseluruhan. 

Peruntukan mesin jentera ini dijangka menyediakan penjimatan yang ketara sehingga RM5,600 setahun untuk setiap petani bagi setiap hektar. 

Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, para petani asnaf kini dapat menggunakan mesin jentera penuai padi dengan hanya RM40 serelong, berbanding dengan penyewaan jentera tempatan yang biasanya mempunyai kos sebanyak RM120 serelong. 

Selain daripada itu, para petani asnaf yang mengambil bahagian juga memperoleh jimatan sehingga RM24 untuk mengangkut satu tan hasil padi serta sehingga RM10 bagi penggunaan dron pertanian. 




Majlis penyerahan diadakan baru-baru ini bersama Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, menyampaikan jentera kepada Dato’ Syeikh Zakaria Othman, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK. 

Ahmad Shahriman berkata, “Kami berbesar hati dapat membantu petani asnaf di negeri Kedah melalui kerjasama dengan LZNK. 

"Sebagai penyokong teras prinsip pengantaraan berasaskan nilai, kami berharap sumbangan ini akan meningkatkan kecekapan pengeluaran padi serta memberi penjimatan kos yang ketara, memperkasakan petani asnaf sekali gus menyediakan sumber pendapatan yang mampan untuk mereka.” 

“CIMB Islamic kekal komited dalam usaha kami untuk mempelopori mekanisma inovatif dalam pembahagian zakat kami demi menangani cabaran global yang kini dihadapi negara kita, khususnya keselamatan makanan.

"Mengikut arahan kerajaan yang diumumkan baru-baru ini, kami yakin bahawa penggunaan instrumen kewangan sosial Islam yang berkesan seperti zakat, ditambah dengan penggunaan teknologi dapat meningkatkan taraf hidup golongan rentan dengan merapatkan jurang serta mengurangkan perbezaan dari segi sosial dan ekonomi,” tambah beliau. 

Syeikh Zakaria pula berkata, “Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada CIMB Islamic di atas sumbangan mereka untuk mesin jentera penuai padi yang akan memberi impak berpanjangan kepada kehidupan komuniti para asnaf di negeri Kedah serta meringankan beban mereka dengan membantu mencari penyelesaian yang praktikal untuk menghadapi cabaran dalam pertanian. 

"LZNK juga akan memainkan peranan kami dalam menyediakan latihan komprehensif kepada petani asnaf yang mengambil bahagian dalam pengendalian serta pengurusan mesin tersebut.” 



LZNK menubuhkan SBBA sebagai satu inisiatif keselamatan makanan jangka panjang bagi meningkatkan kecekapan aktiviti penanaman padi dan pengeluaran hasil lepas tuai dengan menyatukan tanah sawah padi secara pertanian kontrak. 

Program ini direka bagi memastikan bekalan beras yang mencukupi, sekali gus meningkatkan status sosioekonomi dan taraf hidup kumpulan asnaf di negeri Kedah melalui peluang untuk bekerja di tanah sawah tersebut. 

Selain itu, LZNK juga memastikan keselamatan makanan di Kedah terjamin dengan menyalurkan 40 paket beras kepada 590 bank makanan setiap bulan yang terletak di masjid-masjid di seluruh Kedah. 

Sejak permulaan pada tahun 2021, program ini kini merangkumi 201.7 hektar sawah padi di empat daerah berbeza di Kedah termasuk Yan, Kuala Muda, Kubang Pasu dan Kota Setar. 

CIMB Islamic adalah antara bank pelopor di Malaysia dalam memperkenal inisiatif zakat inovatif ini melalui kolaborasi bersama LZNK untuk memperkasakan komuniti asnaf di Kedah. 

Dengan peruntukan teknologi pertanian termaju, kerjasama antara dua pihak ini bertujuan untuk meningkatkan keadaan sosioekonomi serta memupuk kemampanan jangka panjang penerima dan menggalakkan kebebasan kewangan golongan asnaf di negeri Kedah. 

Inisiatif ini adalah sejajar dengan Pemerkasaan Zakat, iaitu salah satu bidang tumpuan utama yang digariskan oleh Majlis Kepimpinan (MLC) Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (MIFC) dalam pelancaran terbaharu Kertas Kedudukan MLC. 



CIMB Islamic telah menerajui pelbagai inisiatif untuk komuniti rentan melalui pelbagai program yang menyokong pertumbuhan jangka panjang dan pembangunan kumpulan kurang bernasib baik, seperti Program Keusahawanan CIMB Islamic – Taylor's, Program iTEKAD Rider Entrepreneur CIMB Islamic, Program iTAAJIR CIMB Islamic – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Program Graduan Agropreneur Melon Manis Terengganu dan CIMB MicroBizReady. 

Inisiatif-inisiatif ini bertujuan menggunakan kewangan sosial bagi memperkasakan golongan asnaf dan usahawan B40 untuk menaikkan taraf hidup serta mencapai potensi penuh mereka dengan memberikan bimbingan dan latihan bagi meningkatkan kemahiran keusahawanan mereka di samping membina daya tahan. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
15
0
7
0
You will be interested