Bisnes & Ekonomi 30 May, 2024

Bila ABAH Bersuara| Apa dah jadi? Projek Plaza Rakyat tak siap-siap jugak! 32 tahun terbengkalai!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

 

Kredit foto: Wikipedia


SUDAH 32 tahun projek Plaza Rakyat di Jalan Pudu, Kuala Lumpur terbengkalai. Sehingga kini belum nampak usaha untuk menghidupkan kembali walaupun sebelum ini ada ura-ura meneruskan projek yang terbengkalai sejak sekian lama.    

Justeru apa kesudahan projek berkenaan yang mula dibina pada 1992 dengan anggaran kos RM1.2 bilion? 

Struktur tapak sudah bertahun-tahun siap. Itulah sahaja yang menonjol pada hari ini. Namun kerana faktor hujan dan panas, tidak pasti sama ada sruktur ini masih kukuh atau sebaliknya.

Tinjauan mendapati kawasan tapak tersebut terbiar bagai tidak dipedulikan. Menurut perancangan awal, Plaza Rakyat bakal muncul sebagai pusat pengangkutan awam bersepadu, lengkap dengan pusat perniagaan, bersebelahan Pusat Transformasi Bandar Kuala Lumpur di Puduraya.

Pendek kata ia boleh diklasifikasikan sebagai projek mega pada ketika itu. Namun apabila kegawatan ekonomi melanda, projek tersebut turut terkena tempias. Pembinaan terhenti dan terus terhenti hingga sekarang.


Kredit foto: Edge Prop


Difahamkan, pemaju projek juga sudah bertukar tangan daripada yang asal. Tetapi sehingga sekarang tiada perubahan status pembinaan. Keadaan masih tetap sama, tiada perkembangan positif. 

Yang ada di situ hanyalah stesen Transit Aliran Ringan (LRT) iaitu Stesen LRT Plaza Rakyat, bersebelahan bangunan Puduraya.

Pada 2015, terdapat ura-ura untuk menghidupkan kembali projek berkenaan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan, namun tiada apa yang berlaku. Pada 2019, sekali lagi timbul cadangan meneruskan projek. Namun sehingga ini tetap belum nampak perubahan di tapak pembinaan.

Seandainya projek ini tidak terbengkalai, ia sudah siap menjadi salah satu mercu tanda di ibu kota, mengambil kira pelan asal pembinaan yang komprehensif. 

Antaranya menara yang mempunyai sehingga 79 tingkat ruang pejabat di sebelah barat plaza. Menara ini bersambung pula dengan menara setinggi 20 tingkat di sebelah timur, menerusi blok podium setinggi enam tingkat. Ketinggian keseluruhan Plaza Rakyat ialah 382 meter, termasuk menara telekomunikasi.

Ruang seluas 6.6 juta kaki persegi turut disediakan merangkumi ruang perniagaan, pusat pengangkutan awam, hotel dan ruang pejabat. Turut disediakan ialah pawagam, pusat hiburan dan hotel empat bintang.

Soalnya kini apakah nasib projek Plaza Rakyat? Mahu dihidupkan kembali atau dibiarkan terus terbengkalai serta rangkanya dibiarkan begitu sahaja seperti yang ada pada hari ini?

Sudah terlalu lama masa berlalu dan rancangan menghidupkan semula projek juga belum menjadi kenyataan. 

Pihak berkuasa perlu membuat keputusan segera kerana projek terbengkalai itu mencatatkan pemandangan bandar raya. Mungkin tapak berkenaan boleh digunakan untuk kegunaan lain seandainya projek berkenaan hendak dimansuhkan terus. - KitaReporters


Kredit foto: Utusan

10
10
0
10
0
You will be interested