
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa usahawan kecil khususnya peniaga gerai, warung dan restoran kekal relevan dan penting, maka mereka tidak wajar diketepikan begitu sahaja.
"Dalam arus pembangunan negara, prasarana gerai, warung dan restoran rakyat tidak boleh diketepikan.
"Kemudahan asas seperti kebersihan dan infrastruktur perlu sentiasa dipertingkat agar kekal relevan dan menjadi pilihan utama pengguna.


"Sebagai tanda sokongan kepada perjuangan peniaga kecil, saya umumkan kelulusan peruntukan segera sebanyak RM500,000 kepada GPPKMM (Gabungan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia).
"Dana ini akan disalurkan terus kepada gabungan bagi memastikan kelangsungan operasi, program, dan aktiviti persatuan tanpa gangguan sementara menunggu pembentangan belanjawan akan datang," jelas beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Jubli Emas ke-50 GPPKMM di Kuala Lumpur pada 22 Ogos 2025.
Beliau berkata, peniaga kecil adalah nadi ekonomi rakyat dan Insya-Allah Kerajaan Madani akan terus membela dan memperkukuh kedudukan mereka demi masa depan yang lebih baik. - KitaReporters/Kenyataan Media
