Bisnes & Ekonomi 29 Jan, 2026

Salah guna kalimah Allah, ayat al-Quran! Guna logo halal tidak sah! Restoran diserbu pegawai KPDN!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Taktik menggunakan logo halal tidak sah dan menggunakan kalimah Allah dan ayat al-Quran di premis bagi mengelirukan orang Islam merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan mempersenda agama Islam.



Ini terbongkar apabila sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Cawangan Teluk Intan telah melakukan satu pemeriksaan pada jam 1 tengah hari 28 Januari 2026 ke atas sebuah restoran yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah di dalam iklan perniagaan.

Selain itu menggunakan representasi takrif halal melalui penggunaan kalimah Allah dan ayat -ayat suci al-Quran dalam perniagaan penyediaan makanan dan minuman di restorannya.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, melalui pemeriksaan yang dijalankan, pemilik premis telah gagal mengemukakan suatu dokumen perakuan atau pengesahan daripada Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

Katanya, premis itu juga didapati menggunakan sepenuhnya dua orang pekerja bukan beragama islam dalam penyediaaan makanan dan minuman di restoran tersebut, termasuklah tukang masak.

Sehubungan itu, pemilik premis perniagaan dikenakan tindakan dan telah ditahan untuk diambil keterangan.

“Pasukan serbuan juga telah menyita beberapa barangan yang terlibat iaitu satu set kalimah Allah dan Muhammad (kayu), satu set kalimah Allah dan Muhammad (plastik), satu Al-Quran hiasan dinding, satu salinan Lesen Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan satu salinan Daftar Perniagaan (SSM) dengan nilai sitaan sebanyak RM500 untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media pada 29 Januari 2026.


Dua pegawai KPDN memeriksa ayat Al-Quran yang ditampal di kaunter restoran.

Kamalludin menegaskan, bagi kesalahan pertama kes ini akan disiasat di bawah Perenggan 4, Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 iaitu mana-mana orang yang membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa makanan dengan membuat apa-apa representasi atau perbuatan yang boleh memperdaya atau mengelirukan mana-mana orang bahawa makanan itu adalah halal atau boleh dimakan oleh orang Islam adalah melakukan satu kesalahan.

Menurutnya, penalti bagi kesalahan ini sekiranya disabitkan adalah individu boleh didenda tidak melebihi RM1 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya, manakala bagi perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM5 juta.

Sehubungan itu, KPDN memandang serius dan akan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga-peniaga yang menggunakan perbahasan atau takrif halal atau penggunaan logo halal yang tidak sah kerana tindakan ini boleh memperdaya atau mengelirukan orang lain bahawa makanan, barang-barang serta perkhidmatan keluaran mereka adalah halal, terutama kepada orang Islam.


Pegawai KPDN menyoal dua pekerja restoran.

Katanya, peniaga juga perlu cakna akan kesalahan yang melibatkan makanan, barangan dan perkhidmatan serta penggunaan logo halal atau apa-apa representasi yang menunjukkan bahawa makanan atau barang-barang yang ditawarkan boleh dimakan atau digunakan oleh orang Islam.

“KPDN juga ingin memberi peringatan kepada pengusaha restoran atau syarikat-syarikat supaya berhati-hati dalam menggunakan sebarang ungkapan, perbahasan atau takrif halal dan perlu memastikan bahawa setiap makanan atau barang-barang keluaran mereka hanya menggunakan perakuan perihal halal dan penandaan halal yang mendapat perakuan daripada pihak berwibawa serta ditanda dengan logo sebagaimana yang dinyatakan dalam undang-undang,” ujarnya. -KitaReporters


Dua pegawai KPDN Teluk Intan menurunkan ayat al-Quran di sebuah restoran di Teluk Intan.

 

11
15
0
20
0
You will be interested