Bisnes & Ekonomi 15 Apr, 2024

Inisiatif AIM! Peruntuk RM71.4j untuk Sahabat Usahawan Wanita berbangsa India! Program pemerkasaan!

@gamal nasir mohd ali
Seorang wartawan selama lebih 30 tahun selepas menyertai Utusan Melayu pada 1989. Bergelumang dalam bidang Online sejak 2000 dan kini mengendali KitaReporters dan UtusanPress. Emel: gamalnasir@gmail.com

Share this


Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan peruntukan dana khas untuk Sahabat Usahawan Wanita berbangsa India berjumlah RM50 juta untuk memajukan, memperkasakan dan mengemilangkan lagi wanita India. 

Dengan peruntukan baharu ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan untuk Sahabat Usahawan berbangsa India adalah sebanyak RM71.4 juta, di mana RM21 juta telah dikeluarkan bermula dari Januari 2024 lalu. 

Peruntukan dana khas tambahan ini akan disalurkan melalui program khas iaitu PENN (Prosperity, Empowerment and A New Normal) seiring dengan gagasan Malaysia Madani. 

Pendekatan ini merupakan satu lagi usaha untuk “memperkasakan” usahawan wanita India menuju ke satu tahap yang lebih baik lagi. Usaha pemerkasan ini merupakan satu lagi proses ‘nilai tambah’ untuk memajukan diri mereka . 

Pengumuman khas itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Ramanan Ramakrishnan pada sidang media yang dibuat di ibu pejabat AIM, Bandar Sri Damanasara pada 13 April 2024.

Hadir pada majlis pengumuman berkenaan ialah Pengerusi Pemegang Amanah AIM, Dato’ Seri Syed Hussian Syed Junid; Pengarah Urusan AIM, Shamir Aziz; serta hampir 100 Sahabat Usahawan berbangsa India. 



Peruntukan berjumlah RM50 juta yang menggunakan dana dalaman AIM ini, dijangka akan memberi manfaat kepada 7,100 Sahabat Usahawan India baharu dan juga kepada 3,100 Sahabat Usahawan India sedia ada. 

Ia menjadikan jumlah keseluruhan yang mendapat manfaat melalui peruntukan dana khas ini ialah seramai 10,200 orang Sahabat Usahawan. 

Peruntukan Dana Khas yang boleh dipohon sehingga RM30,000 ini, dibuka bermula 15 April 2024 di 124 Cawangan AIM di seluruh negara. 

Syarat utama mereka yang layak, mestilah warganagera Malaysia, berbangsa India dan Wanita sahaja’, kata Ramanan. 

Pengumuman ini secara tidak langsung merupakan berita gembira buat Sahabat Usahawan berbangsa India yang akan meraikan sambutan Tahun Baharu Tamil pada Ahad, 14 April 2024. 

Sehingga hari ini, AIM mencatatkan jumlah Sahabat berbangsa India seramai 3,100 dengan jumlah pinjaman yang telah dikeluarkan sebanyak RM330.20 juta. 

Untuk rekod, AIM yang ditubuhkan sejak 37 tahun yang lalu, telah mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM33.02 bilion kepada 968,321 peminjam. Ia sekali gus telah mengeluarkan seramai 3.87 juta isi rumah daripada kepompong kemiskinan. 

Bagi tahun ini (2024), sebanyak RM2.61 bilion diperuntuk untuk pembiayaan dengan jumlah Sahabat Usahawan seramai 317,339 orang. 

AIM merupakan penyedia pembiayaan mikro paling cemerlang di negara ini dengan mencatatkan Non Performing Loan atau Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) serendah 0.09% pada tahun lalu (2023). - KitaReporters/Kenyataan Media

8
10
0
9
0
You will be interested