
Pejabat kedutaan Filipina.
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) telah menggerakkan satu siri jelajah ke pejabat kedutaan negara-negara ASEAN yang ada di Malaysia bagi menyampaikan jemputan rasmi kepada wakil-wakil negara ASEAN bagi menghadiri ASEAN Cooperative Dialogue (Dialog Koperasi ASEAN atau ACD) 2025 yang akan berlangsung pada Mei 2025 di Kuala Lumpur.
ACD 2025 dijangka akan dihadiri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato' Seri Haji Fadillah Yusof yang mewakili Perdana Menteri.
Jelajah diplomatik ini turut memberi ruang kepada ANGKASA untuk memperkenal peranan dan kepentingan ASEAN Co-operative Organization (Pertubuhan Koperasi ASEAN atau ACO) yang kini dipengerusikan oleh Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah, sejajar dengan kepengerusian Malaysia bagi ASEAN tahun 2025.
Melalui ACO, pelbagai inisiatif serantau melibatkan gerakan koperasi sedang giat dirancang, termasuk usaha memperkukuh jaringan perdagangan koperasi ke koperasi (C2C), pembangunan koperasi belia, serta memperluas program koperasi berteraskan komuniti seperti koperasi sekolah dan koperasi kariah masjid.
Kempen promosi ke pejabat kedutaan ini juga adalah selaras dengan sambutan Tahun Koperasi Antarabangsa (International Year of Cooperatives atau IYC) 2025 yang diumumkan oleh Pertubuhan Bangsa -Bangsa Bersatu (PBB) pada 20 Jun 2024.

Pejabat kedutaan Timor-Leste.
Penganjuran ACD 2025 dijangka menjadi platform penting untuk mengetengahkan peranan koperasi dalam pembangunan inklusif, mapan dan merentasi sempadan ASEAN,
Sepanjang siri kunjungan ini, delegasi ANGKASA yang diketuai Abdul Fattah dan Lembaga ACO telah berjumpa dengan wakil-wakil diplomatik dari pelbagai negara anggota ASEAN termasuk Timor Leste, Filipina, Vietnam, Myanmar, Indonesia, Thailand dan lain-lain.
Kunjungan ini juga bertujuan untuk mendapatkan sokongan diplomatik bagi merealisasikan pengiktirafan rasmi koperasi dalam kerangka ASEAN, sekali gus memperkukuh kedudukan koperasi sebagai satu entiti ekonomi yang diiktiraf secara rasmi pada peringkat serantau.
Pengiktirafan ini penting bagi memastikan gerakan koperasi mendapat tempat yang sewajarnya dalam pelbagai inisiatif ASEAN, termasuk integrasi pasaran, pembangunan keusahawanan serantau, serta pengukuhan jaringan perdagangan koperasi rentas negara.
Turut disuarakan penubuhan satu platform rasmi koperasi ASEAN yang membolehkan gerakan koperasi menyuarakan pandangan dan cadangan berkaitan dasar secara lebih tersusun, seperti mana yang dinikmati perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui ASEAN Coordinating Committee on SMEs (ACCSME).
Platform itu diharap dapat meningkatkan keterlibatan koperasi dalam pertumbuhan ekonomi, ketahanan kewangan dan kesejahteraan sosial yang mampan di seluruh rantau tersebut.

Pejabat kedutaan Myanmar.
Kunjungan ini turut memperkukuh hubungan dua hala antara gerakan koperasi Malaysia dan negara ASEAN lain, di samping menjalin persefahaman ke arah kolaborasi lebih luas dalam bidang ekonomi, pendidikan dan keusahawanan koperasi. - KitaReporters/Kenyataan Media