Bisnes & Ekonomi 05 Jun, 2024

1 kapal tunda ditahan, 20,000 liter diesel dirampas! Operasi KPDN Terengganu cegah seludup minyak!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb [email protected]

Share this


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Terengganu menahan sebuah kapal tunda dan merampas 20,000 liter minyak dalam satu serbuan yang dijalankan di sebuah jeti nelayan berdekatan Pulau Duyong, Kuala Terengganu pada 3 Jun 2024.

Menurut kenyataan media KPDN, serbuan yang dilakukan oleh 10 orang anggota penguat kuasa KPDN Terengganu bersama 8 orang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada kira-kira jam 10.00 malam  itu adalah hasil risikan yang telah dilakukan selama dua minggu sebelum serbuan dijalankan. 

“Hasil maklumat awal yang diperolehi, modus operandi sindiket ini adalah dengan membeli minyak diesel di tengah laut menggunakan kapal tunda,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan. 



Minyak tersebut akan diisi di dalam tangki kapal tunda tersebut yang telah diubah suai dan kemudiannya akan dijual semula kepada pembeli pasaran gelap di sekitar kawasan perindustrian berdekatan.

Pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati kapal tersebut tidak memiliki sebarang permit atau surat kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menyimpan minyak diesel di dalam kapal tersebut.

Dianggarkan terdapat lebih kurang 20,000 liter minyak diesel berada di dalam tangki tambahan kapal tersebut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM312,000.

Seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 45 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dijalankan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. 

Sehubungan itu, KPDN ingin memberikan amaran keras kepada semua yang berkaitan dan menegaskan bahawa Kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sindiket dan aktiviti haram ini.

Individu, syarikat dan/atau pengusaha-pengusaha stesen minyak diingatkan agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan.

Mana-mana orang yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan jika disabitkan boleh didenda tidak lebih RM1,000,000 (Ringgit Malaysia Satu Juta).

Bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3,000,000 (Ringgit Malaysia Tiga Juta) bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM2,000,000 (Ringgit Malaysia Dua Juta) manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM5,000,000.00 (Ringgit Malaysia Lima Juta). - KitaReporters


15
15
0
22
0
You will be interested