Bisnes & Ekonomi 10 May, 2025

Malaysia sebagai peneraju ekonomi digital global? Majlis Penasihat Aset Digital dan AI ditubuhkan!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Teknologi aset digital dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi global dan daya saing negara. 

Justeru, Kerajaan pada 8 Mei 2025 bersetuju menubuhkan Majlis Penasihat Aset Digital dan AI -- satu entiti penasihat strategik yang akan memainkan peranan penting untuk meletakkan negara mampu menguasai teknologi ini, lantas berada di barisan hadapan dalam ekonomi digital dunia.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, sewaktu mempengerusi mesyuarat pertama,  antara dibincangkan adalah potensi Malaysia sebagai hab utama dalam teknologi blockchain dan aset digital, termasuk dalam sektor strategik seperti perdagangan rentas sempadan, industri halal dan kewangan Islam.



"Antara fokus utama ialah penggunaan teknologi seperti tokenisasi, stablecoin, aset kripto, kecerdasan buatan (AI), analitik data raya dan pengkomputeran awan untuk memperkasa sektor kewangan digital yang lebih cekap, selamat dan inklusif.

"Ini nescaya membolehkan teknologi-teknologi ini mampu memacu inovasi dalam struktur pasaran, mempercepat transaksi serta memperkukuh ketelusan dan pematuhan," jelasnya.

Perdana Menteri mengalu-alukan kerjasama berterusan dengan Suruhanjaya Sekuriti; Bank Negara Malaysia (BNM); Kementerian Digital (KDM); Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI); serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam memastikan dasar yang menyokong pembangunan teknologi secara bertanggungjawab dan progresif.

"Dengan kepimpinan yang jelas dan ekosistem teknologi yang progresif, Malaysia bersedia muncul sebagai peneraju dalam ekonomi digital global," tegas Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media


11
10
0
8
0
You will be interested