Bisnes & Ekonomi 09 Sep, 2024

Wajibkan pensijilan halal bagi restoran! Perlukan kajian menyeluruh! Banyak usahawan kecil, mikro!

Share this

Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia

Majlis Ekonomi Halal dan Keusahawanan Ummah Malaysia (MEH) mencadangkan supaya satu kajian menyeluruh dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Kajian itu perlu memandangkan ia melibatkan populasi peniaga yang besar di seluruh negara, kajian tersebut bertujuan untuk mendapatkan satu gambaran jelas mengenai daya maju sosioekonominya sekiranya ia dilaksanakan.


Dr Helmi Ibrahim


Setiausaha Agung MEH, Dr Helmi Ibrahim menyambut baik cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dalam mewajibkan pensijilan halal itu dan merupakan langkah inovatif dalam menambah integriti dalam sektor halal.

“Berdasarkan pengalaman MEH dalam berinteraksi dengan ahli-ahlinya di seluruh negara, kami berpendapat bahawa bagi memperoleh Sijil Halal JAKIM khususnya bagi peniaga mikro adalah rumit kerana ia melibatkan birokrasi digital terutama dalam mengisi borang digital. Kebanyakan usahawan mikro tidak mempunyai kemahiran dan akses kepada digital,” katanya kepada wartawan KitaReporters.

Gambar hiasan... Ilustrasi AI 

Helmi berkata dalam kalangan usahawan sektor informal pula, mereka tidak layak disebabkan tidak mendaftarkan perniagaan, ia sekali gus menyukarkan usahawan mikro yang terdiri daripada ibu tunggal dan golongan asnaf yang terlibat dalam sektor penyediaan makanan untuk mendapatkan sijil halal. 

Sehubungan itu, MEH berpendapat JAKIM harus mewujudkan suatu skim khas untuk usahawan mikro dam sektor informal untuk mendapatkan sijil Halal Jakim tanpa terlalu banyak karenah birokrasi seperti dikenakan kepada syarikat yang mengeluarkan produk.

Di bawah skim khas ini mereka juga perlu dikenakan fi yang rendah serta beroperasi di premis yang tidak formal.


Logo Halal Malaysia - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM


“Kemunculan  Sijil Halal untuk sektor restoran dan penyediaan makanan amat penting untuk memastikan kehalalan makanan yang disaji dan dijual terutama dalam aspek bekalan sumber ayam dan daging.

“Keadaan menjadi lebih kritikal kalau ia melibatkan restoran dalam kalangan bukan Islam dan warga asing yang sering menimbulkan kerisauan terhadap status halal bekalan ayam dan daging yang mereka peroleh.  

"Justeru dengan adanya sijil halal ini maka pengguna Islam akan lebih prihatin dalam memilih restoran selain menambahkan keyakinan sebagai pengguna,” katanya.

Helmi berkata MEH bersedia membantu pihak JAKIM dalam menjalankan kaji selidik mengenai tahap keberkesanan pelaksanaan cadangan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

MEH juga berharap agar cadangan ini tidak dijadikan bahan politiking terutama oleh entiti politik kerana ia hanya akan menimbulkan keresahan kepada masyarakat. - KitaReporters


Gambar hiasan... Ilustrasi AI

14
8
0
9
0
You will be interested