Bisnes & Ekonomi 22 Aug, 2025

Perlukan festival bundle peringkat kebangsaan! Peniaga semakin ramai di Bundle Never Die Returns!

Share this

TREND membeli, memakai dan mengumpul pakaian terpakai berjenama terkenal terutama dalam kategori vintaj sudah menjadi kegilaan ramai. MOTAC diharapkan dapat membantu menyelaraskan penganjuran festival pakaian terpakai atau lebih dikenali sebagai ‘bundle’ kerana ia mampu menjana ekonomi dan memberi nilai tambah sektor pelancongan negara. - KitaReporters


POSTER Bundle Never Die Returns edisi ke-7 berwarna kuning yang nampak elegan dan kreatif.

TREND membeli, memakai dan mengumpul pakaian terpakai berjenama terkenal terutama dalam kategori vintaj menjadi kegilaan ramai rakyat Malaysia sejak 10 tahun kebelakangan ini. 

Tidak kira golongan berusia mahupun remaja, trend itu dapat dilihat apabila banyak penganjuran festival pakaian terpakai atau lebih dikenali sebagai ‘bundle’ diadakan di seluruh negara. 

Kewujudan acara seumpama itu bukan setakat menarik perhatian para peminat tempatan, malah ramai juga pelancong yang datang dari luar negara seperti Jepun, Thailand dan Indonesia semata-mata kerana mahu ‘menyelam’ pakaian-pakaian bundle di negara ini. 

Senario itu menjadikan nama Malaysia semakin popular dalam kalangan ‘penyelam’ pada festival-festival bundle yang dianjurkan biarpun ia tidak diadakan secara besar-besaran mahupun tetap jadualnya di setiap negeri. 

Justeru, menurut aktivis dan peniaga barangan bundle, Mawardy Arshad, 47, beliau berharap agar pihak kerajaan terutama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dapat membantu menyelaraskan acara itu kerana ia mampu menjana ekonomi dan memberi nilai tambah sektor pelancongan negara di peringkat antarabangsa. 


Mawardy Arshad atau Wadi menunjukkan sehelai kemeja-t vintaj kumpulan Napalm Death di kedainya di Pekan Lama Sungai Kob, Kulim, Kedah. 


“Sehubungan itu, saya berharap MOTAC dapat menjadikan festival bundle salah satu acara yang besar dan dimasukkan dalam kalender pelancongan negara. 

"Mungkin pihak kerajaan boleh menganjurkan festival ini dengan menyediakan suatu tempat yang besar dan sewa yang murah setiap sebulan sekali ataupun setahun sekali. 

“Dengan cara ini, ramai pengumpul, kedai dan penjual pakaian bundle yang terkenal dalam media-media sosial di seluruh negara dapat dihimpunkan di dalamnya. 

"Ia juga akan memudahkan para peminat ‘menanda tarikh’ pada kalender, sekali gus berkunjung ke acara sebegini,” katanya kepada KitaReporters, baru-baru ini. 

Mawardy atau lebih dikenali sebagai Wadi sahaja dalam kalangan peniaga bundle berkata, trend penganjuran festival bundle jarang mengecewakan para pembeli mahupun peniaganya berdasarkan acara festival Bundle Never Die Returns yang telah 6 kali dianjurkannya sebelum ini. 


SELAIN jualan pakaian bundle terdapat pelbagai acara sampingan sepanjang festival ini berlangsung dari 29 Ogos hingga 31 Ogos ini di festival tersebut


Terbaharu, festival Bundle Never Die Returns edisi ke-7 yang akan dianjurkannya pada 29 Ogos hingga 31 Ogos 2025 ini di Dewan Sukan, Kulim Hi-Tech di Kulim, Kedah, menjadi bukti ia mampu bertahan lama, malah semakin popular dalam kalangan pencinta pakaian bundle. 

Jelas Wadi yang telah berkecimpung dalam bidang jualan pakaian bundle sejak lebih sedekad lalu, seramai 98 vendor dari seluruh negara akan menjual pelbagai jenis pakaian bundle termasuk dalam kategori vintaj di festival itu kelak. 

Sambutan yang diterimanya daripada peniaga pakaian bundle kali ini amat menggalakkan apabila ruang niaga dalam dewan itu hanya mampu menempatkan 98 vendor, dan ia terpaksa ditambah sehingga di luar dewan dengan 30 lagi vendor yang turut berniaga di situ. 

“Berdasarkan penganjuran sebelum ini, saya menganggarkan para peniaga dan vendor yang sebanyak itu mampu menjana jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM700,000 sepanjang 3 hari festival ini diadakan. Ini berdasarkan permintaan semasa pakaian vintaj yang ‘rare’ dan harganya yang juga tinggi di pasaran peringkat global. 

“Sebagai contohnya, ada pembeli dari Thailand yang berbelanja di festival ini sehingga RM90,00 memborong banyak pakaian vintaj dan ‘rare’ di mana ia dijual semula dengan harga yang lebih mahal di negara mereka,” ujar Wadi. 

Antara jenis pakaian yang menarik perhatian adalah kategori ‘street wear’, kemeja-T gambar kumpulan penyanyi dan pemuzik, aksesori pakaian tentera dan seluar jeans daripada pelbagai jenis jenama yang terkenal. 


SUASANA berniaga seperti ini tidak asing dalam Bundle Never Die Returns yang kini dikenali sebagai festival bundle paling popular di Kedah 


Selain Bundle Never Die Returns, terdapat beberapa lagi festival bundle terkenal di negara ini antaranya Santai Maa yang biasanya diadakan di Shah Alam, Selangor; KL Vintage Festival (Kuala Lumpur); Parit Raja Bundle Festival (Batu Pahat, Johor); Festival Bundle D' Dungun (Dungun, Terengganu); Pahang Vintage Festival (Kuantan, Pahang); dan Makar Fest (Kota Bharu, Kelantan). 

Tambah Wadi lagi yang mempunyai kedai bundlenya sendiri iaitu Wadi Bundle AA di Pekan Lama Sungai Kob, Kulim, beliau yàkin penganjuran festival seperti itu mampu memberi pilihan buat masyarakat di negara ini mendapatkan pakaian vintaj yang bukan sahaja berjenama dan berkualiti tinggi tetapi juga dengan pelbagai pilihan mengikut cita rasa fesyen masing-masing. 

“Biasanya harga pakaian bundle murah, yang mahal apabila adanya nilai vintaj. Ia bukan setakat pakaian tetapi juga barangan lain seperti kasut, beg dan aksesori yang boleh dibeli dengan harga yang jauh lebih murah berbanding jika dibeli di butik,” ujarnya lagi. - KitaReporters

13
16
0
12
0
You will be interested