Bisnes & Ekonomi 16 Dec, 2025

Keselamatan Online| Perlindungan kanak-kanak! OCC sokong MCMC! Perkukuh akauntabiliti penyedia medsos!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) di  bawah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menyambut baik dan menyokong inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang memperuntuk bahawa penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar disifatkan sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)), berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026. 



Inisiatif ini adalah selaras dengan seksyen 46A baharu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Peruntukan Deeming) dan OCC memuji langkah ini sebagai satu langkah  penting dalam penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 di Malaysia.

OCC berpandangan bahawa langkah pengawalseliaan ini adalah satu perkembangan penting ke  arah memperkukuh akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia, khususnya  dalam aspek perlindungan kanak-kanak dalam talian. 

Di bawah Konvensyen Mengenai Hak  Kanak-Kanak (CRC), kanak-kanak berhak untuk dilindungi daripada semua bentuk  kemudaratan, penderaan, eksploitasi dan keganasan, termasuk dalam ruang digital.  

Perlindungan ini termaktub di bawah Artikel 3, 19, 34 dan 36 CRC, yang mewajibkan Kerajaan  sebagai Negara Pihak untuk mengambil langkah proaktif dan pencegahan bagi menangani  potensi risiko terhadap kanak-kanak. 

Akta Kanak-Kanak 2001 pula memperuntuk tanggungjawab kesemua pihak untuk melindungi  kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta  eksploitasi. 



Dalam landskap digital masa kini, tanggungjawab ini turut merangkumi persekitaran dalam talian di mana kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan  bersosial. 

Oleh itu, platform digital yang memudah cara interaksi dalam talian berskala besar memikul tanggungjawab untuk memastikan perkhidmatan mereka direka bentuk, ditadbir dan dikuatkuasakan dengan cara yang tidak mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya atau menjejaskan kesejahteraan mereka. 

OCC menegaskan bahawa penyedia perkhidmatan mempunyai kewajipan untuk memastikan  platform mereka, dalam aspek reka bentuk dan tetapan secara automatiknya adalah selamat untuk kanak-kanak. 

Ini termasuk pelaksanaan perlindungan bersesuaian mengikut umur, pencegahan akses kepada kandungan berbahaya, menangani risiko eksploitasi seksual dalam talian dan penderaan, memastikan perantaraan kandungan yang kukuh, serta menyediakan mekanisme pelaporan dan remedi yang mudah diakses. 

Kepentingan terbaik kanak-kanak, seperti mana yang termaktub di bawah Artikel 3 CRC perlu menjadi panduan kepada dasar  platform, reka bentuk sistem dan penguatkuasaan. 



Peruntukan Deeming yang diperkenal oleh MCMC mengukuhkan prinsip bahawa platform  yang memperoleh manfaat daripada jumlah pengguna yang besar di Malaysia perlu memikul tanggungjawab yang setara di bawah rangka kerja kawal selia negara. 

OCC menyokong usaha  MCMC untuk memastikan penyedia perkhidmatan beroperasi dalam sistem kawal selia yang  jelas, konsisten dan boleh dikuatkuasakan, serta menjunjung hak kanak-kanak terhadap keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan mereka.

OCC sedia untuk mengukuh kerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan yang berkaitan serta penyedia perkhidmatan bagi memajukan ekosistem digital yang lebih selamat untuk kanak kanak.

Melindungi kanak-kanak dalam talian bukanlah suatu pilihan, ia adalah kewajipan undang-undang dan moral di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa serta rangka kerja perlindungan kanak-kanak domestik Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

9
11
0
19
0
You will be interested