
Oleh DR NOORKARTINA MOHAMAD
Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ)
Cadangan untuk mengembalikan semula pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kembali menjadi perbincangan dalam kalangan pembuat dasar dan masyarakat umum.
Walaupun sistem ini dilihat sebagai instrumen percukaian yang mampu meningkatkan kecekapan kutipan hasil negara, ia perlu dinilai secara menyeluruh dengan mengambil kira kesan langsung terhadap kesejahteraan rakyat.
Pengalaman pelaksanaan GST antara tahun 2015 sehingga 2018 menunjukkan bahawa cukai ini memberi kesan ketara kepada pengguna, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Pelaksanaan cukai pada kadar enam peratus yang dikenakan ke atas pelbagai barangan dan perkhidmatan asas, termasuk susu formula bayi, lampin pakai buang, ubat-ubatan, buku, dan makanan harian, telah menyebabkan kenaikan harga yang memberi tekanan kepada isi rumah.
Lebih membimbangkan, sistem GST turut memberi kesan tidak langsung kepada struktur kos dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Kajian oleh SME Corp Malaysia mendedahkan bahawa hampir 40 peratus perusahaan mikro dan kecil (PMKS) melaporkan peningkatan kos pematuhan cukai antara RM300 sehingga RM800 sebulan.
Kos ini merangkumi perkhidmatan perakaunan dan pelaporan cukai yang kompleks, yang perlu ditanggung meskipun pendapatan bersih bulanan sesetengah pengusaha tidak melebihi RM2,000.
Akibatnya, beban kos ini turut dialihkan kepada pengguna dalam bentuk kenaikan harga perkhidmatan dan barangan harian.

Sebaliknya, pelaksanaan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada September 2018 telah memberikan ruang penyesuaian yang lebih kondusif kepada ekonomi pengguna.
SST lebih bersifat bersasar kerana hanya dikenakan pada peringkat pengilang dan dalam sektor perkhidmatan tertentu sahaja.
Barangan keperluan seperti beras, ikan, sayur-sayuran, ubat-ubatan di hospital kerajaan, dan buku sekolah dikecualikan daripada cukai, sekali gus membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup rakyat.
Terkini pada tahun 2025, kerajaan akan melaksanakan beberapa pembaharuan dalam sistem SST bagi memperkukuh kedudukan fiskal negara.
Antaranya termasuk peningkatan kadar cukai jualan daripada 5 peratus kepada 10 peratus bagi sesetengah kategori barangan, serta peluasan liputan cukai ke atas sektor-sektor tambahan seperti penyewaan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, dan penjagaan kesihatan swasta.
Walaupun langkah ini dijangka dapat meningkatkan hasil negara, ia disertai dengan pengecualian strategik terhadap barangan dan perkhidmatan asas bagi mengurangkan kesan langsung kepada golongan B40.
Inisiatif ini mencerminkan usaha kerajaan untuk mencari titik keseimbangan antara keperluan hasil dan tanggungjawab sosial kepada pengguna.

Dari sudut kutipan hasil negara, memang diakui bahawa GST mampu menjana pendapatan yang lebih tinggi. Sebagai contoh, pada tahun 2017, kerajaan berjaya mengutip sekitar RM44 bilion melalui GST berbanding purata kutipan tahunan sekitar RM28 bilion menerusi SST.
Namun begitu, persoalan utama yang perlu diketengahkan adalah sama ada peningkatan hasil ini berpadanan dengan beban ekonomi yang ditanggung oleh rakyat.
Laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) pada tahun 2018 menunjukkan bahawa pelaksanaan GST menyumbang kepada peningkatan inflasi jangka pendek dan menjejaskan corak perbelanjaan isi rumah, khususnya dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah.
Beberapa pertubuhan pengguna seperti FOMCA dan CAP turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesan GST terhadap kos hidup rakyat terbanyak.
Meskipun setiap sistem percukaian mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri, sebarang keputusan untuk melaksanakan semula GST harus dilakukan secara berhati-hati, telus dan inklusif. Ini termasuk menjalankan kajian impak yang menyeluruh, menetapkan kadar cukai yang lebih rendah, memperluas senarai pengecualian barangan asas, dan memperkenal mekanisme perlindungan yang menyasarkan golongan rentan.

Akhirnya, matlamat dasar fiskal negara bukan sekadar untuk meningkatkan hasil pendapatan kerajaan, tetapi yang lebih utama ialah memastikan rakyat dapat menikmati kehidupan yang stabil, sejahtera dan mampan.
Dalam hal ini, keutamaan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat perlu sentiasa mengatasi kepentingan kutipan cukai semata-mata.

Dr. Noorkartina Mohamad ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Sains Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ). Artikel ini adalah pandangan penulis.
