
IZHAM Hashim (tengah), Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources, Wayne Lai Soon Wei (kanan) bersama-sama Teo Tee Seng (kiri) serta Mario Valeriano melakukan gimik pelancaran BASE sempena Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran Bersama Pesawah Sungai Leman di Dewan Seri Sekinchan, Selangor. - Kredit foto: EVT
SEBUAH inovasi tempatan yang menggabungkan baja berteknologi dan formulasi agronomi moden dikenali sebagai Siri Kecemerlangan Termaju dan Lestari Briar & Behn Meyer (BASE) didapati berjaya meningkatkan pengeluaran padi dari 4.8 metrik tan per hektar kepada 6.08 metrik tan per hektar.
Produk BASE yang mencapai peningkatan 26.67 peratus atau 1.28 metrik tan per hektar (MT/ha) ini, terbukti berkesan pada projek rintis yang dijalankan di kawasan sawah padi seperti Sungai Leman, Sekinchan, Selangor.
Turut telah menikmati produk dan inovasi yang didasarkan
daripada teknologi Jerman dengan cogan katanya, “Menyemai Harapan, Menuai Perubahan”
ini ialah tiga lagi kawasan sawah padi di Pendang (Kedah), Pekan (Pahang) dan
Terachi (Negeri Sembilan).
“BASE merupakan teknologi pertanian bersepadu yang
mengutamakan keberkesanan, kelestarian dan kesejahteraan petani,” kata
Pengerusi Eksekutif Briar Resources Sdn. Bhd., Datuk Seri Diraja Syed Razlan
Tuanku Syed Putra Jamalullail yang juga Tengku Laksamana Perlis.
BASE tegasnya, yang mampu mengubah landskap pertanian tempatan malah dengan formula yang boleh disesuaikan mengikut data tanah sebenar dan iklim di Malaysia, turut mudah ditabur secara menggunakan dron, blower atau manual.

IZHAM Hashim sedia menyarankan kerajaan negeri, insentif RM100 setiap tan kepada pesawah padi yang berjaya menghasilkan pengeluaran sehingga 7 metrik tan. - Kredit foto: IH
Produk baja BASE dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim sempena Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran Bersama Pesawah Sungai Leman di Dewan Seri Sekinchan pada 3 Mei 2025.
“Tiga petani berjaya mencatat hasil tertinggi pengeluaran padi dalam projek rintis BASE di Sungai Leman iaitu Saleha Saad, 58, dengan 12.238 MT/ha diikuti Halim Sabli, 63, 10.579 MT/ha dan Abd. Halim Abdullah, 53, 10.436 MT/ha,” kata Syed Razlan.
“Sejak 2016, Briar Resources dan rakan teknologi pertanian kami, Behn Meyer Agricare (M) Sdn. Bhd. memulakan penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk membawa BASE ke dalam industri padi juga menerusi kerjasama dengan agensi kerajaan.
“Dalam keadaan cuaca buruk atau banjir, hasil padi yang menggunakan baja BASE masih memberangsangkan biarpun pengeluarannya masih memerlukan faktor-faktor seperti pengurusan air dan pengairan, keadaan tanah dan perubahan cuaca.
“Malah yang lebih penting, semua ujian dan percubaan dilakukan kami tanpa sebarang perbaikan keadaan persekitaran asal dan di mana-mana pun, kesan teknologi BASE ini tetap memberikan kesan pengeluaran yang luar biasa,” kata Razlan.

Baja BASE mengandungi 77 jenis surih dengan sumber sulfur asli dan pemadatan berimpak premium serta salutan fulvanetik manakala tahap pelepasan karbonnya rendah.
Sementara itu, Izham berkata, terdapat lebih 9,000 pesawah padi di Selangor dan jawatankuasanya akan mencadangkan kerajaan negeri, pemberian insentif RM100 setiap tan kepada pesawah yang berjaya mengeluarkan padi sehingga 7 metrik tan.
“Di Sungai Leman dan Sekinchan dengan projek rintis BASE ini mampu mencapai kadar pengeluaran setinggi itu namun yang menjadi masalahnya di kawasan lain Selangor, tidak banyak," tambahnya.
Kerajaan negeri ujarnya, sentiasa terbuka dan tidak menolak kemasukan teknologi baharu pertanian apatah lagi Selangor sudah tidak mempunyai tanah lagi untuk dijadikan sawah sebaliknya perlu meningkatkan produktiviti padi.

IZHAM (tengah) menerima cenderamata daripada Syed Razlan sambil diraikan Wayne Lai Soon Wei (kanan), Teo Tee Seng (kiri) dan Mario Valeriano sempena Majlis Ramah Mesra dan Kesyukuran Bersama Pesawah Sungai Leman di Dewan Seri Sekinchan. - Kredit foto: EVT
Produk BASE ini dianggap sebagai pelengkap kepada permintaan beras -- makanan ruji utama rakyat -- yang semakin meningkat dan memainkan peranan kritikal dalam menjamin keselamatan makanan Malaysia.
Produk ini turut mampu meningkatkan peratusan kadar sara diri (SSR) beras negara kepada 65% pada 2024 dari hanya 56.2% pada 2023 yang memaksa negara bergantung kepada beras import untuk memenuhi permintaan dan keperluan mendesak pengguna terhadap pengeluaran beras tempatan.
Justeru Briar Resources turut bertekad membantu merealisasikan sasaran kerajaan dalam mempertingkat SSR kepada 75% menjelang 2025 dan 80% menjelang 2030, sekali gus menyokong kelestarian dan keterjaminan rantaian bekalan makanan negara.
Kerjasama Briar Resources dan Behn Meyer Agricare juga katanya, telah dijalin dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sehingga berjaya meraih pengiktirafan antarabangsa, Pingat Emas dan Anugerah Daya Cipta Hijau Terbaik Pameran Dan Pertandingan Daya Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa (ITEX) Ke-35 pada 2024. - KitaReporters

BARISAN peraih hasil padi tertinggi projek rintis BASE Sungai Leman, Halim Sabli (kiri), Saleha Saad (lima dari kiri) dan Abd. Halim Abdullah (dua dari kanan) menunjukkan isyarat bagus dengan diraikan Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Izham Hashim dan Ketua Pegawai Eksekutif Briar Resources, Wayne Lai Soon Wei (empat, lima dan lapan dari kanan). - Kredit foto: EVT