Bisnes Korporat 23 Aug, 2022

Bajet 2023 bajet kesejahteraan Keluarga Malaysia! Pastikan semua dapat nikmati manfaat pembangunan!

@editor 1
Semua kenyataan akhbar/press releases boleh di emel ke editor@kitareporters.com atau kita.reporters@gmail.com

Share this



KERAJAAN akan memastikan semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.  

Beliau berkata, mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disedia berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat.

"Antara tumpuan utama adalah untuk memastikan pemulihan pasca COVID-19 turut mewujud peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan

"Di samping itu, dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambah baik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti

"Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan," katanya pada majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan pada hari ini Selasa, 23 Ogos 2022.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan belanjawan atau bajet


Berikut adalah teks ucapan ucapan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023 di Kementerian Kewangan pada 23 Ogos 2022:

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan keizinan-Nya, kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini dan menyempurnakan majlis penutupan Konsultasi Bajet 2023. 

2. Konsultasi Bajet 2023 ini merupakan platform libat urus antara pihak Kerajaan dan sektor swasta, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta pertubuhan masyarakat sivil (CSO) bagi sama-sama merangka bajet negara demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. 

3. Terima kasih dan tahniah saya ucapkan kepada Menteri Kewangan, Yang Berhormat Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz dan Kementerian Kewangan atas usaha menganjurkan sesi konsultasi ini.

4. Saya juga merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir, yang saya dimaklumkan telah turut mengemukakan memorandum. 

5. Saya difahamkan sebanyak lebih daripada 3,000 isu dan 2,000 cadangan telah diterima dari 242 agensi termasuk cadangan mengenai percukaian. 

6. Isu dan cabaran yang dibangkitkan serta kaedah penyelesaian yang dicadangkan untuk menanganinya akan diperhalusi dan diteliti sewajarnya. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

7. Ekonomi negara menunjukkan pemulihan kukuh pada separuh pertama 2022 yang berkembang sebanyak 6.9 peratus ekoran langkah Kerajaan melaksanakan Fasa Peralihan ke Endemik, pembukaan sepenuhnya ekonomi dan sempadan serta didokong dasar fiskal mengembang melalui Bajet 2022. 

8. Saya yakin momentum pemulihan ekonomi negara pasca COVID-19 akan berterusan sehingga penghujung tahun 2022 dan dengan itu, unjuran pertumbuhan tahun 2022 di antara 5.3 peratus dan 6.3 peratus dapat dicapai.

9. Berdasarkan indikator ekonomi terkini, insya-Allah, dijangka pertumbuhan tahun 2022 dapat mencecah ke tahap tertinggi dalam julat unjuran tersebut.  

10. Momentum pemulihan ekonomi bukan sekadar pertumbuhan KDNK tetapi pemulihan pasaran tenaga kerja juga jelas dicapai berdasarkan kepada penurunan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus yang tertinggi pada Mei 2020 kepada 3.8 peratus pada bulan Jun 2022, antaranya hasil daripada inisiatif Jamin Kerja dengan peruntukan melebihi RM4 bilion dalam Bajet 2022. 

11. Keyakinan kepada ekonomi negara juga jelas dalam kalangan pelabur antarabangsa. Untuk separuh pertama 2022, pelaburan langsung asing (FDI) mencatat aliran masuk bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding sebelum pandemik iaitu RM23.3 bilion pada tempoh yang sama tahun 2019.  



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

12. Meskipun pertumbuhan ekonomi negara untuk tahun 2022 berada pada trajektori pemulihan yang memberangsangkan, namun harus diingat, kita masih lagi berdepan dengan prospek ekonomi global yang semakin mencabar untuk tahun 2023 berikutan konflik Rusia Ukraine yang berterusan, gangguan rantaian bekalan makanan global serta tindakan bank-bank pusat dunia yang memperketat dasar monetari.  

13. Senario ekonomi global semakin mencabar dan tinjauan ekonomi bagi tahun 2023 kurang memberangsangkan. Pihak IMF telah menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi global untuk tahun 2023 dari 3.8 peratus semasa tinjauannya pada Januari 2022 kepada 2.9 peratus pada Julai 2022. 

14. Sebagai sebuah ekonomi yang terbuka, kita tidak terkecuali daripada perkembangan global. Gangguan rantaian bekalan dunia telah meningkatkan harga komoditi dan makanan dengan mendadak. 

15. Pada bulan Jun 2022, kadar inflasi di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom melebihi 9 peratus sementara negara serantau seperti Thailand, Singapura dan Filipina melebihi 6 peratus. 

16. Demi kesejahteraan rakyat, Kerajaan telah melaksanakan langkah mengawal harga barangan serta menambah baik bantuan dan subsidi barangan asas. Hasil daripada tindakan Kerajaan, kadar inflasi untuk separuh tahun pertama 2022 kekal pada tahap terkawal 2.5 peratus. 

17. Tindakan Kerajaan tersebut telah meningkatkan perbelanjaan bantuan dan subsidi kepada RM77.7 bilion berbanding peruntukan Bajet 2022 sebanyak RM31 bilion. Tanpa bantuan dan subsidi Kerajaan, dianggarkan kadar inflasi negara akan mencecah sebanyak 11.4 peratus. 

Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

18. Mengambil kira cabaran yang bakal dihadapi pada tahun 2023, Kerajaan akan memastikan Bajet 2023 disedia berteraskan kesejahteraan dan kebajikan rakyat segenap lapisan masyarakat. 

19. Antara tumpuan utama adalah untuk memastikan pemulihan pasca COVID-19 turut mewujud peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat serta kelangsungan perniagaan. 

20. Di samping itu, dalam menghadapi ketidaktentuan global, Bajet 2023 turut memberi tumpuan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dengan menambahbaik sistem perlindungan sosial serta meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui perkhidmatan kesihatan dan pendidikan berkualiti. 

21. Kerajaan turut memberi tumpuan kepada persekitaran hidup yang selamat dan selesa dengan menitikberatkan pembangunan yang inklusif dan mampan. 

22. Ia bertujuan agar semua ahli Keluarga Malaysia dapat menikmati manfaat pembangunan negara pada masa kini dan hadapan tanpa mengira komuniti atau tempat tinggal. 

23. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada barisan pembentang iaitu YBrs. Dr Apurva Sanghi, YBhg. Dato' Dr. Ir. Andy Seo Kian Haw, YBhg. Dato' Hazimah binti Zainuddin, YBhg. Prof Datuk Dr Denison Jayasooria dan YBhg. Dato' Shahira Ahmed Bazari kerana berkongsi pendapat dan pandangan mengenai topik yang sangat relevan dalam perkembangan ekonomi Malaysia pada masa kini. 



Keluarga Malaysia yang saya kasihi, 

24. Saya difahamkan beberapa isu dan cadangan telah diutarakan seperti pemberian subsidi dan perlindungan sosial; kelangsungan perniagaan dan kemampanan industri termasuk mengurang kos menjalankan perniagaan; dan meningkatkan pembangunan sumber manusia dan tenaga mahir, produktiviti, teknologi dan digitalisasi dalam perniagaan. 

25. Terdapat juga cadangan untuk memperkukuh kerjasama pelbagai pihak untuk mempercepat pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan (SDG) menjelang 2030 pada peringkat nasional. 

26. Jalinan kerjasama ini juga berperanan sebagai pemangkin kepada kesejahteraan sosioekonomi Keluarga Malaysia. Cadangan-cadangan tersebut selari dengan bidang fokus bajet dan akan diperincikan untuk dirangka langkah Bajet 2023 yang sesuai. 

27. Tidak ketinggalan juga saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir pada majlis Konsultasi Bajet 2023 ini dengan penyertaan yang aktif serta sumbangan idea yang bernas, kreatif dan menarik. 

28. Majlis ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan dalam proses 

penyediaan bajet untuk rakyat demi kesejahteraan Keluarga Malaysia 

Keluarga Malaysia yang dikasihi, 

29. Perbincangan hari ini adalah merupakan titik permulaan kepada sesi libat urus yang lebih komprehensif untuk memperhalusi input Bajet 2023. 

30. Kementerian Kewangan akan mengadakan siri mesyuarat kumpulan fokus untuk membincangkan bidang-bidang terpilih. Sebahagian hadirin pada hari ini akan dijemput sekali lagi untuk sesi yang lebih intensif dan berfokus. 

31. Sebagai pelengkap kepada Majlis Konsultasi Bajet pada hari ini, seluruh Keluarga Malaysia dijemput untuk mengemukakan cadangan di dalam Portal Cadangan Bajet 2023 dengan melayari laman web Kementerian Kewangan seperti di pautan yang dipaparkan pada skrin. 

32. Terima kasih sekali lagi Keluarga Malaysia yang dikasihi. Marilah sama-sama kita jayakan Bajet 2023, dengan tema “Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia.” - KitaReporters/Kenyataan Media


11
9
0
13
0
You will be interested

Video| Tahniah Khairulaming! Semakin maju! Tambah kilang baharu di KB! Jualan sudah cecah RM14j!

Khairulaming pengasas sambal pedas, Sambal Nyet, tambahkan pengeluaran produk buatannya dengan buka sebuah lagi kilang di negeri kelahirannya iaitu di Kelantan

Buat julung kalinya! Forum Pembangunan Industri Halal anjuran HDC diadakan Australia! 1-2 Sept 2022!

Persidangan Perniagaan Halal Sedunia (WHBC) perluas halal Malaysia ke luar negara dengan anjur Forum Pembangunan Industri Halal HDC di Melbourne, 1-2 Sept 2022
Rahana MD in Bisnes Korporat 4 weeks ago

Syabas UUM, RHB Islamic Bank! Jalin kerjasama, hubungan rakan strategik! Bantu masyarakat di Kedah!

UUM, RHB Islamic Bank bersedia bantu masyarakat dengan bidang kepakaran masing-masing. Ini boleh dicapai melalui kerjasama antara sektor pendidikan dan korporat
Nur Sabrina Samsudin in Bisnes Korporat 1 month ago

Keluarga Malaysia semakin menua! PM mahu blueprint Agenda Negara Menua disediakan! EPU selaraskan!

Malaysia jadi negara menua (ageing nation) pada 2021 dan dijangka jadi negara tua (aged nation) pada tahun 2044, kata Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob
Editor 1 in Bisnes Korporat 1 month ago

Sedia untuk infak? Redi2Infaq.com platform mudah untuk berwakaf! Bantu projek amal, kebajikan NGO!

Radiance Asset Berhad melalui anak syarikatnya, RediPay Sdn Bhd wujudkan Redi2Infaq.com bagi permudah masyarakat dalam penyumbangan infak guna platform digital
Khadijah Mohamad Nor in Bisnes Korporat 1 month ago