
Antara nelayan-nelayan yang turut hadir pada Majlis Rahmah Mesra Madani dan Penyerahan Jeti Tambatan Bot Baharu di Kampung Nelayan Tok Pasai, Kuala Kedah pada 24 April 2025.
Majlis Rahmah Mesra Madani dan Penyerahan Jeti Tambatan Bot Baharu di bawah pengawasan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LIKM) negeri Kedah berlangsung di Kampung Nelayan Tok Pasai, Kuala Kedah, Alor Setar pada 24 April 2025.
Lebih 100 nelayan di kawasan itu menarik nafas lega setelah sebuah jeti baharu bagi tambatan bot berjaya disiapkan sepenuhnya di tapak milik LKIM pada 11 Februari 2025 lalu.
Projek pembinaan dilaksanakan bagi memudahkan urusan nelayan masing-masing. Sebelum itu, jeti lama terletak berhampiran pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Kedah dan terpaksa diroboh bagi menaik taraf terminal serta jeti penumpang, kargo, dan RORO di kawasan tersebut.

Ahmad Zulkifli Ismail (dua kiri) melakukan penyerahan Jeti Tambatan Bot Baharu kepada Abdul Hamid Bahari diperhati oleh Muhammad Faiz Fadzil (tengah) di Kampung Tok Pasai, Kuala Kedah.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Kementerian Pengangkutan selaku agensi pelaksana telah menyumbang sebanyak RM130,000 bagi pembinaan jeti baharu tersebut.
“Jeti ini lebih tersusun, selamat, dan strategik, sekali gus memudahkan operasi harian nelayan. Ini adalah langkah penting untuk memastikan komuniti nelayan dapat menjalankan aktiviti harian dengan lebih baik,” katanya.
Jeti baharu itu juga turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan bagi mengurangkan kesesakan, memudahkan pengangkutan hasil tangkapan, struktur pemasangan kayu nibong yang tahan lasak serta lampu solar untuk pencahayaan tambahan, terutama pada waktu malam.
"Bagaimanapun, sebuah jeti konkrit yang lebih kukuh juga dirancang untuk dibina di kawasan tersebut," tambah Muhammad Faiz lagi.

Seorang nelayan (kanan) menerima Bantuan Bakul Makanan daripada pihak LIKM.
Sempena majlis itu, seramai 30 nelayan menerima Bantuan Bakul Makanan dari LKIM sebagai tanda sokongan komuniti tersebut.
Pengarah LIKM Kedah, Ahmad Zulkifli Ismail berkata, usaha dilakukan bakal memberi manfaat kepada komuniti nelayan di sekitar Kampung Tok Pasai.
Menurutnya, tanah bagi pembinaan jeti adalah milik LKIM dan melalui perancangan yang baik, nelayan tentu merasa puas hati untuk menjalankan aktiviti harian secara lebih sempurna.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Abdul Hamid Bahari pula berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan kepada LKIM jika setiap projek yang hendak dilaksanakan itu dapat memberi kebaikan kepada nelayan amnya. - KitaReporters
Tags:
#nelayan
#Alor Setar
#pelabuhan
#jeti
#Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM)
#bakul makanan
#Kuala Kedah
#Kementerian Pengangkutan (MOT)
#Muhammad Faiz Fadzil
#Persatuan Nelayan Kawasan (PNK)
#penyerahan
#jeti baharu
#jeti tambatan bot
#Kampung Tok Pasai
#LKIM Kuala Kedah
#pelabuhan LKIM
#jeti konkrit
#jeti kayu
#Bantuan Bakul Makanan
#Ahmad Zulkifli Ismail
#LKIM Kedah
#Abdul Hamid Bahari
#PNK Kuala Kedah