Bisnes & Ekonomi 20 Jul, 2022

Video| Barang tiruan dirampas, 6 pemilik premis ditahan! KPDNHEP Terengganu lancar operasi serbuan!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Penguat kuasa KPDNHEP Terengganu memeriksa barangan tiruan di sebuah premis  perniagaan yang diserbu.


KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Terengganu menahan enam individu pemilik premis perniagaan kerana disyaki menjual barangan tiruan

Penahanan individu terbabit dibuat selepas pihak penguat kuasa KPDNHEP Terengganu melakukan serbuan ke atas tiga premis berasingan iaitu dua buah premis di daerah Kuala Terengganu dan sebuah premis di daerah Marang.

Dalam serbuan yang dijalankan kira-kira jam 12 tengah hari itu, pada 19 Julai 2022 sejumlah 105 unit barangan terdiri daripada beg tangan, dompet dan selipar serta 1,232 unit minyak wangi yang disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah bernilai RM27,612.00 telah berjaya dirampas.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan operasi KPDNHEP 

Seorang pegawai penguat kuasa memeriksa barangan tiruan di sebuah premis di Terengganu. - Gambar Ihsan KPDNHEP



Enam orang lelaki warga tempatan berusia dalam linkungan 20-an telah ditahan di tempat kejadian bagi membantu siasatan.

Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia berkata, operasi yang dijalankan adalah susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barangan berkenaan adalah tiruan yang kemudiannya berjaya membongkar aktiviti peniaga yang tidak beretika sehingga mengabaikan kepentingan pengguna.

Katanya, pasukan serbuan terdiri daripada lapan orang Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Negeri Terengganu dan empat orang Pegawai Penguat Kuasa.


Saharuddin Mohd Kia


Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan barang-barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah bagi maksud perdagangan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Akta yang sama.

“KPDNHEP menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama di pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik sesetengah peniaga yang tidak beretika yang cuba mengambil keuntungan dengan cara mudah,” katanya dalam satu kenyataan media pada 20 Julai 2022. 



Katanya, pihak KPDNHEP juga mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan. 

Aduan atau maklumat boleh disalurkan sama ada (i) Portal e-aduan@kpdnhep.gov.my, (ii) Talian Hotline KPDNHEP 1800-886-800, atau (iii) E-mel e-aduan@kpdnhep.gov.my. - KitaReporters


Seorang pegawai penguat kuasa sedang merekodkan  barang-barang tiruan

14
16
1
11
0
You will be interested