
Oleh DR. AHMAD SHAUQI MOHAMAD ZUBIR
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Ekonomi Madani semakin menunjukkan hasil yang memberangsangkan. Dengan fokus yang jelas iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat terutama golongan berpendapatan rendah sambil memperkukuh kedudukan kewangan negara melalui pelbagai langkah yang dilaksana kini mula membuahkan hasil.
Antara inisiatif yang memberi impak terus kepada rakyat termasuklah kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan bantuan tunai RM100 secara sekali bayar menerusi SARA 2025.
Walaupun kecil pada angka, bantuan ini sebenarnya memberi ruang kewangan tambahan kepada berjuta-juta rakyat Malaysia untuk menampung keperluan harian.
Penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter dan pengurangan kadar tarif elektrik kepada 85% pengguna domestik turut mengurangkan beban kos sara hidup.
Di samping itu, kerajaan memperuntukkan RM500 juta bagi subsidi tol dan RM600 juta untuk program Jualan Rahmah Madani -- semuanya bertujuan memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.
Dengan kos sara hidup yang lebih terkawal, rakyat kini mampu mengurus kewangan dengan lebih baik.


Selain itu, lebih 250,000 peluang pekerjaan baharu telah diwujudkan, manakala kadar pengangguran menurun kepada hanya 3.0%. Ini satu petanda positif bahawa pasaran kerja semakin stabil dan berdaya saing.
Kerajaan juga menunjukkan komitmen terhadap pembangunan komuniti dan pendidikan melalui pelaksanaan program Sekolah Angkat Madani dan Kampung Angkat Madani.
Bagi golongan B40 dan isi rumah berpendapatan rendah, mereka menjadi penerima manfaat utama daripada inisiatif Madani.
Sebanyak RM13 bilion diperuntukkan menerusi bantuan STR dan SARA, manakala bantuan kebajikan di bawah JKM turut ditingkatkan kepada RM2.9 bilion.
Usaha ini turut berjaya mengeluarkan 150,000 isi rumah daripada kelompok miskin tegar.
Bagi sektor pertanian pula, langkah menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 serta insentif getah kepada RM3.00 sekilogram memberikan impak kewangan yang besar kepada pesawah dan penoreh getah yang rata-ratanya berada dalam golongan berpendapatan rendah.
Ini membantu mengurangkan ketidaktentuan pendapatan dalam sektor tersebut.
Dalam bidang kesihatan, lebih 4,000 jawatan baharu diwujudkan dalam sektor awam bagi memastikan akses rakyat, terutama yang kurang berkemampuan, kepada perkhidmatan kesihatan semakin mudah dan menyeluruh.


Di peringkat makro, prestasi ekonomi negara turut menunjukkan perkembangan positif. Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2025 direkodkan pada 4.4%, dan dijangka meningkat kepada 4.5% pada suku kedua.
Ini menunjukkan ekonomi Malaysia sedang berada di landasan yang stabil dan berdaya tahan.
Pelaburan langsung luar negara dan dalam negara (FDI dan DDI) turut mencatat rekod tertinggi dalam sejarah negara -- berjumlah RM384 bilion pada tahun 2024.
Ini menggambarkan keyakinan pelabur domestik dan asing terhadap dasar ekonomi yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Nilai ringgit pula mengukuh sebanyak 5% berbanding dolar Amerika dan kini berada pada paras RM4.23. Ini bukan sahaja meningkatkan kuasa beli rakyat di luar negara, malah menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang lebih menarik di rantau ini.
Kejayaan Malaysia melonjak 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia jelas mencerminkan kemajuan pentadbiran ekonomi negara.
Dengan kadar pengangguran 3.0% -- terendah dalam lebih sedekad -- dan kadar inflasi hanya 1.1% pada Jun 2025, Malaysia dilihat berjaya mengekalkan kestabilan ekonomi walaupun banyak negara lain masih bergelut dengan tekanan harga global.
Secara keseluruhannya, angka dan pencapaian ini menggambarkan bahawa Ekonomi Madani bukan sekadar slogan, tetapi satu usaha menyeluruh yang benar-benar memberi kesan kepada kehidupan rakyat dan daya saing negara.
Tumpuan kepada pertumbuhan seimbang, sokongan kepada rakyat, dan kewangan negara yang kukuh meletakkan Malaysia di landasan yang betul untuk terus maju ke hadapan.
Dr. Ahmad Shauqi Mohamad Zubir ialah pensyarah kewangan di Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Artikel ini adalah pandangan penulis.
