Bisnes & Ekonomi 06 Aug, 2025

Sekolah, tadika, kemudahan kesihatan wajib jadi syarat utama kelulusan! Projek perumahan Madani! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Projek perumahan berskala besar perlu mengambil kira penyediaan prasarana asas seperti sekolah, tadika dan kemudahan kesihatan bukan sebagai syarat tambahan, tetapi menjadi syarat utama kelulusan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan para pemaju kena menghayati konsep Madani dalam merealisasikan pembangunan perumahan rakyat.

"Saya tegaskan bahawa projek (perumahan) berskala besar, dengan ribuan unit kediaman, wajib mengambil kira penyediaan prasarana asas seperti sekolah, tadika dan kemudahan kesihatan. 

"Keperluan asas penduduk bukan sekadar tambahan, tetapi mesti menjadi syarat utama sebelum sesuatu pembangunan diluluskan," ujar beliau ketika berucap majlis pecah tanah projek Residensi Aman Madani di Kuala Lumpur pada hari ini, Selasa, 6 Ogos 2025.

"Saya menegur Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak pemaju (projek Residensi Aman Madani) yang masih belum sepenuhnya menghayati konsep Madani dalam merealisasikan pembangunan perumahan rakyat. 

"Pegawai perancang, pemaju dan pentadbir bandar perlu benar-benar memahami bahawa konsep Madani bukan sekadar slogan, tetapi satu amanah. 

"Saya tidak mahu komisen, tidak mahu proses yang meleret. Apa yang saya tuntut ialah pelaksanaan projek secara bersih, telus dan cekap dengan kepentingan rakyat sebagai keutamaan," tegas Anwar.



Menurutnya, kerajaan sering berbicara tentang memahami keluh kesah rakyat. 

"Namun hakikatnya, masih ada ibu bapa berpendapatan rendah yang terpaksa menghantar anak ke tadika dan sekolah yang jauh dari kediaman, menanggung kos pengangkutan yang membebankan.

"Justeru, perancangan bandar berteraskan Madani mesti merangkum ikhtiar menurunkan beban hidup rakyat, termasuk memastikan prasarana asas ini disediakan pada peringkat pelan pembangunan. 

"Sekiranya sekolah atau tadika ditempatkan dalam bangunan yang sama, bukankah itu lebih berperikemanusiaan? 

"Tentunya Kerajaan akan menanggung kos pembinaan sekolah, yang jauh lebih rendah berbanding kaedah konvensional, jika ia dimasukkan dalam perancangan awal," tambah Perdana Menteri.

Beliau berkata, DBKL, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan tidak boleh sekadar membina menara tinggi dan restoran mewah, tetapi mesti memastikan penyediaan ruang penjaja, taman permainan, laluan selamat dan kawasan hijau untuk rakyat terbanyak.

"Inilah maksud sebenar pembangunan Madani: menyantuni kelompok tersisih, mengurangkan kos sara hidup, dan mengangkat martabat rakyat dengan perancangan yang teliti dan manusiawi. 

"Pecah tanah hari ini (6 Ogos 2025) mesti menjadi titik mula kepada budaya pembangunan yang lebih bertanggungjawab dan berjiwa rakyat," ujar Anwar lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media


18
10
0
9
0
You will be interested