UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) dan McDonald’s Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merasmikan kerjasama untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan melalui Program Perantis McDonald’s.
Kerjasama itu termeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara UiTM diwakili Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor dan Profesor Dr. Mohamad Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM manakala McDonald’s Malaysia diwakili Dato’ Azmir Jaafar, Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan dan Hilmy Sulaiman, Pengarah Kanan Undang-Undang dan Francais.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan akitiviti kampus UiTM
Senator Dato’ Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi telah merasmikan dan menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut yang diadakan di Dewan Anjung Seri Budiman, UiTM Shah Alam di Shah Alam, Selangor pada 10 Jun 2022.
UiTM dan McDonald’s menjalin kerjasama dalam tiga program iaitu Program Perantis Pengurusan atau Management Apprentice Program (MAP), Program Kebolehpasaran Siswazah atau Graduate Employability Program (GEP) dan Program Latihan Amali atau Internship Pogram (IP).
Program perantis ini khususnya, bermatlamat menyediakan peluang kerjaya untuk para pelajar daripada pelbagai latar belakang, termasuk pelajar B40 dan individu berkeperluan khas.
Selain mengukuhkan kebolehpasaran graduan, ia turut menyediakan pelajar dengan peluang kerjaya yang bermakna.
Ts. Dr. Roziah Mohd Janor
UiTM sebagai institusi pengajian tinggi terbesar di Malaysia sentiasa bekerjasama dan mengambil pendekatan proaktif dengan pihak industri dalam memaksimumkan inisiatif kebolehpasaran graduan.
Menurut Ts. Dr. Roziah, dalam satu kenyataan media pada 10 Jun 2022, “Program Perantis McDonald’s dan UiTM amat selari dengan agenda terkini UiTM bagi memperkukuhkan inisiatif kebolehpasaran graduan agar senada dengan Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 Kementerian Pengajian Tinggi, di mana visinya adalah ke arah graduan holistik dan seimbang dengan nilai kebolehpasaran global.”
Azmir Jaafar
Untuk menggalakkan kebolehpasaran belia dan siswazah, McDonald’s turut menawarkan beberapa program pekerjaan seperti Program Perantisan Vokasional McDonald’s di bawah Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN), selain MAP, GEP dan IP.
Sehingga 2021, McDonald’s Malaysia telah melatih lebih 900 lulusan kolej dan universiti di bawah program MAP, GEP dan IP, yang kini sedang bekerja dalam industri hospitaliti.
“McDonald’s Malaysia berhasrat memainkan peranannya sebagai sebuah syarikat terkemuka dengan menyokong dan melancarkan lagi pelaksanaan agenda negara melibatkan pembangunan belia.
"Tahun ini, McDonald’s terus menumpukan perhatiannya ke arah kebolehpasaran belia, dan kami menyasarkan untuk menyediakan 50,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2026.
"Dengan pertumbuhan perniagaan McDonald’s di negara ini, kami membuka banyak peluang baharu untuk bakat-bakat muda. Kami komited untuk mengembangkan dan membangunkan tenaga kerja kami, memandangkan mereka adalah keutamaan jenama kami,” kata Azmir, dalam kenyataan media tersebut.
Menurut Azmir, McDonald’s Malaysia berhasrat melaburkan RM300 juta untuk program-program latihan dan pembangunan.
Dr Ahmad Masrizal Muhammad
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi dalam ucapannya menyokong penuh inisiatif yang dilaksanakan oleh UiTM dan McDonald’s Malaysia.
“Kriteria graduan yang holistik ini amat penting agar graduan yang dilahirkan dapat menepati landskap dan kaedah pekerjaan yang terbaharu agar dapat menjadi graduan profesional yang berkebolehan untuk mengembangkan ilmu, diri, masyarakat dan negara,' katanya dalam kenyataan media yang sama.
Majlis yang dihadiri kira-kira 300 peserta itu turut diserikan dengan kehadiran 20 anak yatim dari Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari / Rumah Amal Bestari Shah Alam dalam program komuniti ‘Raikan Senyuman’ kerjasama antara UiTM dan Ronald McDonald House Charities (RMHC) yang turut diadakan serentak pada 10 Jun 2022 itu. - KitaReporters