Kampus & Pendidikan 09 Feb, 2026

Syabas! 92.08% pelajar keluar mengundi! Pilihan Raya Kampus POLIMAS! Bukti kematangan mahasiswa!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Pilihan Raya Kampus (PRK) Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) 2026 di Jitra, Kedah melabuhkan tirai dengan mencatatkan peratusan keluar mengundi luar biasa iaitu sebanyak 92.08 peratus.



Proses pengundian yang berlangsung di Dewan Sri Mas, POLIMAS bermula seawal jam 8.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang pada 4 Februari 2026 itu menyaksikan dewan tersebut dibanjiri mahasiswa yang bersemangat untuk menentukan nakhoda baharu mereka.

Keputusan rasmi pilihan raya tersebut telah diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa PRK POLIMAS, Ketua Jabatan Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar, Saiful Nizam Sa'ari. 

Beliau mengesahkan bahawa daripada 3,029 pelajar yang layak, seramai 2,789 pelajar telah keluar mengundi untuk memilih barisan kepimpinan daripada 59 calon yang bertanding bagi merebut 27 kerusi strategik (7 Umum, 15 Sektor, dan 5 Jabatan).

Katanya, keputusan menyaksikan Muhammad Alif Luqman Mahadi muncul sebagai pemenang undi tertinggi kerusi umum dengan jumlah 306 undi.

Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman, menyatakan rasa bangga beliau terhadap komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh warga kampus.

"Kehadiran pemilih yang melebihi 92 peratus ini adalah bukti mahasiswa kita peka dengan tanggungjawab demokrasi.

"Ini selari dengan slogan 'Dari Bintang Kampus ke Pemimpin Masa Hadapan'. 

"Kita bukan sekadar mahu melahirkan graduan yang cemerlang akademik, tetapi pemimpin yang mempunyai mandat dan integriti," ujarnya. 



Sementara itu, tinjauan di pekarangan Dewan Sri Mas mendapati pelbagai reaksi daripada pelajar yang pertama kali merasai pengalaman mengundi secara rasmi.

Pelajar Asasi Teknologi Kejuruteraan, Ku Hanis Rusydina Ku Rosli, tidak menyembunyikan perasaan bangganya. 

"Saya sangat teruja dapat mengundi dan menjadi sebahagian daripada proses pemilihan pemimpin kami sendiri," katanya.

Bagi Nurzulaikha Dania Afrina Zuhaimi, pelajar Diploma Pemasaran, pengalaman tersebut dirasai dengan penuh debaran. 

"Rasa berdebar juga untuk mengundi calon pilihan saya, tapi saya harap siapa pun yang menang dapat menjalankan amanah dengan baik," ujarnya.

Dua pelajar Diploma Kejuruteraan Awam, Muhammad Airel Naufal Abd Rahman dan Ku Akmal Ridwan Ku Muhamad Zaidi, turut menyifatkan pengundian serentak seluruh Malaysia ini sebagai simbol solidariti rakan-rakan seperjuangan dalam menyokong rakan yang bergelar calon.



Kejayaan PRK POLIMAS 2026 ini membuktikan mahasiswa kini semakin matang dalam berpolitik dan cakna dalam mencorakkan masa depan organisasi mereka selaras dengan aspirasi negara. - KitaReporters

11
14
0
11
0
You will be interested