Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah melaksanakan program kesedaran marin, Waste To Eco Vibe, iaitu inisiatif program yang memberi fokus kepada pengurusan sisa plastik secara kreatif dan mampan melalui konsep ecobrick atu ekobata.

Inovasi ecobrick (ekobata) membolehkan sisa plastik diubah menjadi bahan binaan mesra alam seperti kerusi, pasu dan meja, sekali gus mengurangkan jumlah plastik yang berakhir di tapak pelupusan, pesisir pantai dan laut.
Program yang dikelola oleh Kelab Gabungan Sukarelawan Siswa, Sustainable Ocean Alliance (SOA) UMT dan Young Conservationist Club (YCC) UMT ini dilaksanakan untuk memupuk kesedaran alam sekitar terutama lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong luar.
Aktiviti yang melibatkan peserta Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pangkor dan komuniti sekitar kawasan Pulau Pangkor ini diadakan bersempena program Pembangunan Komuniti Madani Pulau Pangkor, Perak, yang dihadiri Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi.


Menurut Sharanya a/p K Rajanthiran, pelajar Sarjana Muda Biologi Marin merangkap wakil SOA UMT, program seperti ini memberi impak besar terhadap kesedaran komuniti terhadap hubungan langsung antara sisa plastik dan kesihatan ekosistem marin.
“Sebagai pelajar Biologi Marin, saya dapat melihat dengan jelas bagaimana sisa plastik memberi kesan kepada ekosistem laut.
"Program EcoBrick ini bukan sahaja mendidik, malah memberi solusi praktikal yang boleh diamalkan oleh masyarakat untuk mengurangkan sisa plastik daripada memasuki laut.
"Inisiatif sebegini sangat penting dalam melahirkan conservationist muda yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar,” katanya.

Langkah ini selaras dengan situasi semasa di Malaysia, di mana lebih 76.4% sisa plastik tidak diurus dengan betul, menjadikannya berisiko tinggi memasuki laut dan memberi kesan negatif kepada hidupan marin.
Program Marin Waste To Eco Vibe ini diharap dapat memperkukuh kesedaran masyarakat tentang pengurusan sisa pepejal dan melahirkan generasi muda yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar. - KitaReporters/Kenyataan Media