Kampus & Pendidikan 19 Feb, 2026

Penduduk kaum Cina disantuni! Kariah masjid dan pelajar politeknik turun padang! Perkukuh perpaduan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Semangat perpaduan dan keharmonian kaum terus diperkukuh apabila seramai 30 pelajar dari Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) berganding bahu bersama Masjid Al-Ummah, Telok Chengai dekat Alor Star menganjurkan Program Santuni Masyarakat - Memperkukuh Keharmonian dan Perpaduan Kaum sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026.


Sekumpulan empat pelajar mengunjungi sebuah rumah masyarakat Cina untuk mengedar buah limau.

Program yang berlangsung itu menyaksikan para pelajar turun padang mengunjungi beberapa taman perumahan sekitar kariah Masjid Al-Ummah, Telok Chengai dengan mengedar buah limau tajaan daripada Masjid Al-Ummah sebagai menghormati masyarakat Cina yang menyambut Tahun Baharu Cina.

Pendekatan yang diambil bersifat mesra komuniti untuk memberi pelajaran kepada pelajar  dengan menekankan nilai hormat-menghormati, toleransi serta semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Inisiatif ini digerakkan oleh pelajar kelas Diploma Kejuruteraan Mekatronik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan pelajar Diploma Ukur Bahan, Jabatan Kejuruteraan Awam yang mengikuti kursus Penghayatan Etika dan Peradaban. Program tersebut dilaksanakan di bawah bimbingan pensyarah Jabatan Pengajian Am POLIMAS, Ustaz Mohd Nazimi Zaim Ismail, yang turut bertindak sebagai penasihat pelajar.

Mohd Nazimi Zaim berkata, penglibatan pelajar dalam aktiviti kemasyarakatan seperti ini menjadi platform terbaik untuk menterjemahkan teori penghayatan etika dan peradaban kepada amalan sebenar dalam kehidupan bermasyarakat.

“Program ini bukan sekadar lawatan biasa, sebaliknya satu proses pembelajaran secara langsung yang membentuk nilai empati, tanggungjawab sosial serta kefahaman mendalam terhadap realiti masyarakat majmuk negara kita,” katanya dalam kenyataan media pada 16 Februari 2026.

Seorang wakil pelajar, Muhammad Afiq Mohd Haizul, menyifatkan pengalaman tersebut sebagai amat bermakna dan membuka perspektif baharu kepada peserta.

“Interaksi secara langsung dengan masyarakat pelbagai kaum memberi kami peluang memahami budaya dan cara hidup komuniti dengan lebih dekat.

“Ia sekali gus memupuk semangat kesukarelawanan dan mengukuhkan nilai perpaduan dalam kalangan generasi muda,” katanya.


Golongan kurang upaya juga diraikan untuk menerima buah limau sebagai persiapan sempena perayaan Tahun Baharu China

Sementara itu, Setiausaha Masjid Al-Ummah, Telok Chengai, Wan Nordin Wan Daud, merakamkan penghargaan kepada pihak POLIMAS, pensyarah serta para pelajar atas komitmen yang ditunjukkan.

Beliau berakta, program seperti ini selari dengan peranan masjid sebagai institusi yang menyantuni masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

“Masjid bukan sekadar tempat ibadah, malah pusat penyatuan ummah dan masyarakat. Program seperti ini sangat signifikan dalam memperkukuh keharmonian sosial di peringkat akar umbi,” ujarnya.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini berjaya mempererat hubungan ukhuwah antara institusi pendidikan dan komuniti setempat, di samping menyemai nilai saling menghormati serta memperkukuh semangat perpaduan nasional.

Usaha murni ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai langkah berterusan dalam membina masyarakat Malaysia yang bersatu, harmoni dan saling memahami sejajar dengan aspirasi negara untuk terus mengekalkan keamanan dalam kepelbagaian.- KitaReporters


Seramai 30 pelajar dan petugas masjid bergambar selepas menyertai Program Santuni Masyarakat di Telok Chengai, Alor Star, Kedah.

18
12
0
10
0
You will be interested