Kampus & Pendidikan 11 Feb, 2026

Tahniah POLIMAS! Dinaik taraf sebagai Politeknik Premier! Lonjakkan ke liga elit pendidikan TVET!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Landskap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara mencatat satu detik bersejarah apabila Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di Jitra, Kedah dinaik taraf sebagai Politeknik Premier, sekali gus melonjakkan institusi berkenaan ke dalam kelompok elit politeknik terbaik Malaysia.


Kampus POLIMAS di Jitra, Kedah menjadi hab TVET di wilayah utara Malaysia.

Pengiktirafan berprestij itu diumumkan oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah, pada Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Tahun 2026 yang berlangsung di Politeknik Merlimau, Melaka pada 3 Februari 2026.

Pengumuman berkenaan bukan sekadar satu pengiktirafan, malah menjadi simbol keyakinan kerajaan terhadap keupayaan POLIMAS sebagai peneraju pendidikan TVET berimpak tinggi.

Pengiktirafan Politeknik Premier itu telah diterima oleh Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Dr. Mhd Azmin Mat Seman.

Status Politeknik Premier hanya dianugerahkan kepada institusi yang benar-benar layak selepas melalui penilaian menyeluruh dan ketat. 

Ia melibatkan aspek kualiti akademik, kecemerlangan tadbir urus, kebolehpasaran graduan, kekuatan tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran bertaraf industri serta jaringan kerjasama strategik bersama sektor industri.

Menurut Dr. Shamsuri dalam ucapannya, POLIMAS telah membuktikan keupayaan luar biasa sebagai institusi yang bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah mampu menyesuaikan sistem pengajaran dan pembelajaran dengan keperluan industri yang sentiasa berubah.

Beliau berkata, pengiktirafan tersebut adalah hasil prestasi konsisten POLIMAS yang menunjukkan peningkatan berterusan dari segi kualiti program, inovasi pengajaran serta sumbangan kepada pembangunan modal insan negara.


Dr Shamsuri Abdullah (kiri) menyerahkan sijil pengiktirafan kepada Dr. Mhd Azmin Mat Seman di Melaka pada 3 Februari 2026.

Sementara itu, bagi pihak POLIMAS, Dr. Mhd Azmin menyifatkan penaiktarafan ini sebagai detik yang amat bermakna dan membanggakan. 

Menurut beliau, kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras dan komitmen berpasukan seluruh warga POLIMAS yang tidak pernah jemu meningkatkan kualiti pendidikan dan latihan.

Katanya, status Politeknik Premier membawa bersama tanggungjawab besar untuk memastikan POLIMAS terus menjadi rujukan dalam sistem politeknik negara.

“Sebagai Politeknik Premier, POLIMAS kini berada pada landasan baharu untuk memperluas penawaran program berteknologi tinggi yang sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan keperluan ekonomi digital. 

"Bidang seperti automasi industri, teknologi pintar, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) serta kejuruteraan lanjutan akan terus diperkasakan,” katanya dalam kenyataan media pada 8 Februari 2026.

Menurut beliau, kemudahan makmal dan bengkel latihan turut dipertingkat agar selari dengan standard industri sebenar. 

Pendekatan pembelajaran berasaskan amali dan penyelesaian masalah dunia sebenar menjadi tunjang utama dalam melahirkan graduan yang benar-benar bersedia memasuki alam pekerjaan, katanya lagi.

“Majoriti graduan POLIMAS berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh singkat selepas tamat pengajian, manakala sebahagian lagi memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Majikan pula mengakui graduan POLIMAS mempunyai kelebihan dari segi kemahiran teknikal, sikap profesional dan keupayaan menyesuaikan diri dengan pantas di tempat kerja,” tambah beliau.


Dr Shamsuri Abdullah (empat dari kiri) bergambar dengan Dr. Mhd Azmin Mat Seman (empat, kiri) bersama-sama pengarah-pengarah politeknik yang lain. 


Sehubungan itu, beliau menegaskan, penaiktarafan sebagai Politeknik Premier dijangka menjadikan POLIMAS semakin mendapat perhatian pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dengan kos pengajian yang berpatutan, tempoh pengajian yang praktikal serta peluang kerjaya yang jelas, POLIMAS muncul sebagai pilihan strategik bagi mereka yang ingin membina masa depan melalui laluan kemahiran.

“Persepsi masyarakat terhadap TVET juga semakin berubah, apabila pendidikan kemahiran kini dilihat setara dan relevan dengan laluan akademik tradisional,” jelasnya.

Sebagai institusi TVET utama di Zon Utara, POLIMAS dijangka memainkan peranan lebih besar sebagai hab pembangunan bakat, inovasi dan penyelidikan gunaan.

“Institusi ini juga berpotensi menjadi pusat rujukan latihan industri dan pemindahan teknologi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada pelajar, malah kepada komuniti dan sektor industri setempat,” katanya. - KitaReporters

12
14
0
10
0
You will be interested