Oleh SUHANA ABDUL MUTALIB
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
MEMILIKI anak yang tergolong dalam kategori Orang Kelainan Upaya (OKU) menuntut perjuangan yang bukan sedikit daripada ibu ayah dan seisi keluarga malah ia merupakan perjuangan senyap yang sering dipandang enteng oleh pelbagai pihak.
Ini termasuklah perjuangan dalam aspek pendidikan yang bukan sahaja dinilai dalam konteks akademik, tetapi sebenarnya berkisar tentang harapan -- harapan untuk melihat anak berdikari, dihormati dan mampu membina kehidupan sendiri.

Namun reality sebenar yang harus dilalui sebahagian besar ibu ayah ialah laluan pendidikan tinggi yang kelihatan terlalu mencabar, sama ada berkisar mengenai kos yang tinggi sebaliknya yang lebih besar ialah perihal kebimbangan.
Kebimbangan terhadap kebolehan anak menyesuaikan diri serta kerisauan sama ada institusi Pendidikan mampu menyediakan sokongan prasarana yang sesuai.
Justeru, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ketika pembentangan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2026-2035 mengenai pendidikan percuma untuk pelajar OKU di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) hadir sebagai satu sinar baharu.
Ia bukan sekadar tentang pelepasan yuran, tetapi mesej jelas bahawa pendidikan bukan lagi hak eksklusif golongan tertentu, sebaliknya ruang terbuka untuk semua, termasuk mereka yang berkeperluan khas.
Pengumuman ini secara tidak langsung terus mendokong insiaitif yang telah dilaksanakan oleh beberapa Universiti Awam (UA) di Malaysia yang telah mula menunjukkan komitmen ke arah pendidikan inklusif.
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), misalnya, secara berperingkat-peringkat memperkukuh kemudahan kampus mesra OKU dan sokongan pembelajaran yang lebih fleksibel, dan hal sama turut dilaksanakan oleh Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menyokong agenda kampus inklusif, bukan hanya dari segi infrastruktur fizikal tetapi juga kesedaran komuniti kampus.
UA lain seperti Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia turut memperkukuh unit sokongan OKU serta penggunaan teknologi bantu yang dapat memudahkan urusan di dalam kampus dan asrama.

Inisiatif yang digerakkan oleh UA ini menunjukkan bahawa agenda pendidikan inklusif bukan lagi sekadar slogan, tetapi sedang diterjemahkan dalam bentuk tindakan sebenar di lapangan.
Komitmen ini membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi mampu menjadi pemangkin perubahan sosial apabila diberi hala tuju dasar yang jelas dan sokongan berterusan.
Usaha memperkukuh kemudahan mesra OKU, menyediakan sokongan akademik fleksibel serta memupuk budaya kampus yang lebih inklusif bukan sahaja memudahkan akses pendidikan, malah meningkatkan keyakinan pelajar OKU untuk belajar, berdikari dan berkembang secara bermaruah.
Dalam konteks ini, pendidikan percuma untuk OKU yang diumum oleh kerajaan bukan berdiri sendiri, sebaliknya melengkapkan ekosistem sedia ada yang sedang dibina oleh universiti awam demi memastikan tiada pelajar tercicir hanya kerana keterbatasan fizikal atau keperluan khas.
Jika dilihat dalam konteks antarabangsa pula menunjukkan bahawa pendidikan tinggi memberi impak langsung terhadap kebolehpasaran kerja pelajar OKU.
Di Australia misalnya, laporan National Centre for Vocational Education Research dan Australian Institute of Health and Welfare menunjukkan bahawa graduan OKU yang memiliki kelayakan pendidikan tinggi mencatat kadar kebolehpasaran kerja sekitar 53 hingga 60 peratus, jauh lebih tinggi berbanding OKU tanpa kelayakan yang mencatat kadar sekitar 30 peratus.
Data ini membuktikan bahawa akses pendidikan tinggi secara inklusif bukan sahaja meningkatkan peluang pekerjaan, tetapi turut mengurangkan kebergantungan jangka panjang terhadap bantuan sosial.
Namun, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memastikan peluang ini dimanfaatkan sepenuhnya. Pendidikan percuma membuka pintu, tetapi kejayaan anak OKU memerlukan sokongan berterusan.
Ibu bapa digalakkan berhubung awal dengan pihak universiti, memahami kemudahan yang disediakan dan membantu anak membuat persediaan emosi serta kemahiran kendiri sebelum melangkah ke alam kampus.

Dalam masa yang sama, pendekatan pendidikan OKU perlu bersifat realistik dan pelbagai. Tidak semua pelajar OKU mempunyai kelebihan akademik tradisional, namun ramai yang memiliki kekuatan dalam kemahiran praktikal dan teknikal.
Oleh itu, penyediaan geran latihan melalui kerjasama strategik antara universiti, industri dan agensi kerajaan perlu diperkasakan.
Program sijil kemahiran, latihan vokasional dan pembelajaran fleksibel boleh membantu pelajar OKU membina masa depan yang lebih stabil selepas tamat pengajian.
Pendekatan ini penting bagi memastikan pelajar OKU tidak terperangkap dalam sistem yang terlalu sempit definisinya terhadap kejayaan.
Pendidikan tinggi untuk OKU tidak seharusnya diukur semata-mata melalui peperiksaan atau kelayakan akademik konvensional, tetapi melalui keupayaan mereka memperoleh kemahiran, keyakinan dan kebolehan untuk berdikari.
Melalui geran latihan yang tersusun, pelajar OKU boleh mengikuti laluan pendidikan alternatif yang lebih praktikal dan relevan dengan keupayaan masing-masing, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran kerja selepas tamat pengajian.
Dalam konteks ini, peranan universiti adalah sebagai pemudah cara, manakala industri dan agensi kerajaan bertindak sebagai rakan strategik yang membuka ruang latihan, penempatan industri dan peluang pekerjaan sebenar.
Apabila ekosistem ini bergerak seiring, pelajar OKU bukan sahaja dilengkapkan dengan ilmu, tetapi turut diberi peluang untuk membuktikan keupayaan mereka dalam dunia sebenar.
Inilah asas kepada pendidikan inklusif yang sebenar -- bukan sekadar memberi akses masuk ke kampus, tetapi memastikan graduan OKU keluar dengan masa depan yang jelas dan bermaruah.

Pada akhirnya, pendidikan percuma untuk OKU bukan sekadar dasar, tetapi peluang sebenar untuk mengubah kehidupan. Jika dimanfaatkan dengan sokongan institusi, kerjasama keluarga dan keterbukaan masyarakat, ia mampu menjadi pemangkin kepada masa depan yang lebih adil dan inklusif.
Ini bukan soal ihsan, tetapi soal keadilan. Ia bukan hadiah, tetapi tanggungjawab negara. Anak-anak OKU tidak meminta jalan mudah, mereka hanya memerlukan jalan yang tidak ditutup.
Apabila peluang telah dibuka, kegagalan sebenar bukan pada mereka yang melangkah perlahan, tetapi pada masyarakat yang membiarkan peluang itu berlalu tanpa dimanfaatkan.
Suhana Abdul Mutalib adalah Pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi (FPK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Artikel ini ialah pandangan penulis.
