Seramai 35 orang pelajar Diploma Geomatik (DGU) dari Politeknik Ungku Omar (PUO) telah menjayakan aktiviti praktikal cerapan anak bulan bagi menentukan permulaan puasa tahun 1447H/2026M di Pusat Astronomi Baitul Hilal, Pantai Pasir Panjang, Lumut, pada 17 Februari 2026.

Program itu
diketuai Ketua Delegasi, Sr Gs Mohd Zahiruddin Mohamed Na’aim bersama
barisan pensyarah pengiring berpengalaman iaitu Sr Siti Kamisah Mohd Yusof, Sr
Dr. Masreta Binti Mohd @ Basri dan Mohd Omar Mohamed Hassan.
Aplikasi
'Astronomi Lapangan' secara realiti ini merupakan komponen penting dalam kursus
Astronomi Lapangan. Para pelajar diberi tunjuk ajar secara intensif mengenai
teknik-teknik mencerap anak bulan yang tepat.
Pelajar telah mengaplikasikan kemahiran mengendalikan peralatan teknologi tinggi iaitu
- Total Station & Theodolite: Untuk menentukan kedudukan azimut dan altitud hilal serta
- GPS Survey: Bagi mendapatkan koordinat lokasi cerapan yang jitu selari dengan data astronomi.
Melalui bimbingan Sr Gs Mohd Zahiruddin dan pasukan, pelajar didedahkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) cerapan rasmi yang memerlukan disiplin dan ketepatan tinggi.

Sr Gs Mohd Zahiruddin Mohamed Na’aim membetulkan peralatan sebelum melakukan cerapan untuk melihat anak bulan di Segari, Lumut, Perak
Pengarah
Politeknik Ungku Omar, Dr. Salmi Che Meh menyatakan kebanggaan beliau
terhadap dedikasi barisan pensyarah dan pelajar dalam mengintegrasikan
teknologi ukur dengan tuntutan syarak.
"Program
cerapan ini bukan sekadar aktiviti luar kelas, tetapi merupakan makmal lapangan
yang kritikal bagi pelajar Geomatik.
“Kehadiran
pakar dan pasukan memastikan pelajar mendapat bimbingan langsung dalam bidang Geomatik.
"Kami
mahu graduan PUO bukan sahaja mahir dalam pemetaan bumi, malah kompeten dalam
aspek astronomi yang memberi impak besar kepada komuniti dan negara," katanya.
Selaras dengan matlamat PUO dalam memperkasa kemahiran teknikal dan kerjasama strategik selain memenuhi keperluan akademik, program ini menjadi platform bagi memperkukuh kerjasama antara PUO dan agensi agama negeri dalam memperkasakan bidang falak di Malaysia.

Sr Siti Kamisah Mohd Yusof menunjuk ajar pelajar Diploma Geomatik cara mencerap anak bulan.
Sementara itu, semangat ukhuwah dan nilai murni masyarakat Madani terpancar jelas melalui penganjuran Fiesta Kampung Angkat Madani Bendang Siam (KAMBEST) 2026 yang berlangsung dengan meriah di Kampung Batu 8, Bendang Siam, Taiping pada 15 Februari 2026.
Program ini merupakan inisiatif kolaborasi strategik antara Kolej Komuniti Shah Alam (KKSA), Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) Perak dan Kolej Komuniti Bayan Baru.
Kehadiran Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Shamsuri Abdullah ke lapangan bagi menyokong program ini telah memberikan impak yang sangat positif.
Kehadiran beliau bukan sahaja sebagai tanda sokongan pengurusan tertinggi, malah sebagai simbolik komitmen berterusan JPPKK dalam memacu agenda pemerkasaan komuniti luar bandar melalui pendidikan dan aktiviti kemasyarakatan.

Tambah keistimewaan majlis, program ini turut disambut mesra oleh bekas Ketua Pengarah JPPKK, Datuk Dr. Mohd Zahari Ismail, yang kini berbakti sebagai Pengerusi Surau Kampung Bendang Siam.
Kehadiran beliau di kampung kelahiran sendiri memperlihatkan kesinambungan kepimpinan dan nilai rendah diri seorang tokoh pendidikan yang terus berkhidmat kepada masyarakat setempat selepas persaraan.
Sebagai tanda setiakawan dan sokongan tidak berbelah bahagi sesama institusi di bawah JPPKK, pasukan daripada Politeknik Ungku Omar (PUO) turut turun padang dengan membuka gerai jualan dan pameran.
Penglibatan aktif warga PUO dalam fiesta ini bukan sahaja bertujuan memeriahkan suasana, malah berfungsi sebagai platform interaksi terus antara warga politeknik tertua negara itu dengan penduduk kampung melalui perkongsian maklumat dan khidmat nasihat.

Program ini membuktikan bahawa institusi pendidikan seperti Politeknik dan Kolej Komuniti (POLYCC) bukan sahaja berperanan sebagai pusat kecemerlangan kemahiran, malah sebagai pemangkin transformasi sosial yang rapat dengan hati rakyat.
Kerjasama antara KK Shah Alam, POLYCC Perak (melibatkan PUO), dan KK Bayan Baru ini diharap dapat menjadi model kepada program kemasyarakatan yang lebih inklusif pada masa hadapan. - KitaReporters
