Universiti Malaysia Terengganu dan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) terus memperkukuh agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera menerusi pelaksanaan projek Melon Manis Terengganu (MMT) yang kini berjaya meningkatkan pendapatan 30 petani daripada golongan B40 di negeri ini.

Mohd Hairi Ibrahim menunjukkan hasil buah Melon Manis Terengganu (MMT) yang diusahakannya setelah mendapat bimbingan daripada penyelidik dari UMT.
Inisiatif di bawah Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) itu memberi tumpuan kepada pemindahan teknologi pertanian bernilai tinggi serta bimbingan keusahawanan berstruktur bagi memastikan peserta mampu menjana pendapatan secara konsisten dan mampan.
Daripada jumlah keseluruhan peserta, 28 orang mengusahakan tanaman melon premium menggunakan sistem fertigasi moden, manakala dua lagi terlibat dalam projek sokongan penternakan lebah kelulut.
Hasil pendekatan tersebut, setiap peserta kini memperoleh pendapatan minimum sekitar RM1,200 sebulan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup keluarga masing-masing.
Sebanyak 17 unit Rumah Pelindung Hujan (RPH) lengkap dengan sistem fertigasi separa terbuka dibangunkan di Kampus UMT Bukit Kor, meliputi kawasan kira-kira 1.5 hektar sebagai pusat pengeluaran dan latihan utama.
Fasiliti berkenaan berkapasiti sehingga 7,200 polibeg dan berfungsi sebagai tapak demonstrasi teknologi kepada para peserta.
Selain itu, sebanyak 22 lokasi penanaman secara fertigasi terbuka diwujudkan di Kuala Nerus, Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang.
Setiap peserta mengusahakan kira-kira 1,000 pokok dengan pemantauan agronomi dan kawalan nutrien yang sistematik bagi memastikan kualiti buah memenuhi piawaian pasaran.
Penanaman awal melibatkan 4,000 polibeg berjaya menghasilkan kira-kira tiga tan metrik melon, sekali gus menjadi penanda aras kepada pengeluaran berskala lebih besar.
Bagi musim semasa, projek itu disasarkan mampu mengeluarkan sehingga 20 tan metrik semusim selari dengan peningkatan kapasiti pengeluaran serta pengalaman peserta yang semakin matang dalam pengurusan tanaman.

Kunjungan daripada pihak TERAJU dan juga UMT ke tapak projek MMT bagi memantau perkembangan tanaman yang diusahakan peserta projek.
Pihak UMT menyediakan latihan teknikal merangkumi pengurusan tanaman, kawalan penyakit, amalan pertanian baik dan pengendalian lepas tuai.
Sementara itu, TERAJU pula menyalurkan sokongan pembiayaan serta rangka kerja pemerkasaan usahawan Bumiputera termasuk aspek tadbir urus dan pengembangan pasaran.
Peserta turut dibimbing beralih daripada operasi pertanian tidak formal kepada model perniagaan yang lebih tersusun dan telus, termasuk pengurusan rekod kewangan, strategi pemasaran serta pematuhan standard kualiti.
Pendekatan holistik itu dilihat sebagai faktor utama yang membantu meningkatkan daya tahan serta daya saing petani kecil dalam pasaran melon premium yang semakin berkembang.
Salah seorang peserta, Mohd Hairi Ibrahim, 41, melahirkan rasa syukur dan terharu atas peluang yang diberikan melalui projek berkenaan.
“Saya amat berterima kasih kepada UMT dan TERAJU kerana memilih kami daripada golongan B40 untuk menyertai projek ini.
"Sebelum ini pendapatan saya tidak menentu, tetapi kini hasil jualan melon dapat membantu menyara keluarga dengan lebih stabil.
“Bukan sahaja kami diberi bantuan kemudahan dan modal, malah turut dibimbing secara berterusan daripada aspek teknikal sehingga pemasaran. Inisiatif seperti ini sangat membantu golongan seperti kami untuk bangkit dan berdikari,” katanya.

Sebahagain peserta yang menyertai Projek Melon Manis Terengganu (MMT) yang kini berjaya memperoleh pendapatan sampingan kira-kira RM1,200 sebulan.
Pendekatan kolaboratif antara universiti dan agensi kerajaan itu dilihat sebagai model pembangunan komuniti yang berkesan dalam meningkatkan pendapatan petani kecil, di samping membuka ruang kepada golongan B40 menceburi bidang pertanian moden berimpak tinggi.
Dengan permintaan pasaran terhadap melon premium yang stabil, Projek MMT dijangka terus berkembang dan berpotensi diperluas ke lebih banyak lokasi pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh ekosistem agropreneur di Terengganu serta menyokong agenda pembangunan ekonomi inklusif negeri. - KitaReporters/Kenyataan Media