Kampus & Pendidikan 21 Feb, 2026

Ayuh Mahasiswa Bangkit! Program bantu pelajar universiti jana pendapatan sendiri! Sepanjang pengajian!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: [email protected]

Share this

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memperkenal program Mahasiswa Bangkit bagi membantu 175 mahasiswa kawasan itu menjana pendapatan sendiri sepanjang tempoh pengajian di universiti.


Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (tengah) sedang bertanyakan sesuatu dengan sekumpulan pelajar pada program Mahasiswa Bangkit di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang dekat Taiping.

Menurut beliau, inisiatif berkenaan tercetus hasil pengalaman peribadi ketika beliau menuntut di universiti satu ketika dahulu, apabila berdepan kesukaran kewangan sehingga terpaksa mencari inisiatif menjual buku tanpa modal sebagai sumber pendapatan.

“Saya pernah tak ada duit semasa di universiti. Saya ambil buku dari kedai, jual dulu,  kemudian bayar semula modal.

"Dari situ saya belajar bahawa yang pentingialah usaha,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Mahasiswa Parlimen Bukit Gantang di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang pada 20 Februari 2026. 

Program Mahasiswa Bangkit itu melibatkan 25 kumpulan mahasiswa anak Perak yang sedang menuntut di 13 negeri, masing-masing dipantau oleh fasilitator (Fac) yang terdiri daripada pengurus rangkaian perniagaannya di setiap negeri.

Syed Abu Hussin berkata, bantuan kewangan semata-mata tidak mencukupi kerana kos sara hidup dan kos pengajian semakin meningkat. 

Justeru, pendekatan baharu diperkenal dengan memberi peluang serta bimbingan keusahawanan kepada mahasiswa agar lebih berdikari. 



Katanya, di bawah program Mahasiswa Bangkit, Fac berperanan menyelia, membimbing serta membantu pelajar menangani sebarang masalah sehingga tamat pengajian.

“Kita bukan sekadar beri bantuan sekali sahaja. Kita bimbing mereka sampai habis belajar dan bantu mereka tentukan hala tuju kerjaya sebelum tamat pengajian,” katanya.

Menurutnya, pelajar yang dipilih adalah dalam kalangan anak-anak Bukit Gantang daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk golongan nelayan dan petani yang membentuk sebahagian besar latar belakang ekonomi penduduk kawasan itu.

Mengulas bentuk bantuan, Syed Abu Hussin berkata, mahasiswa digalakkan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan penghasilan kandungan  sebagai sumber pendapatan sampingan.

“AI adalah masa depan. Negara perlu bergerak ke arah digital. Kalau mereka ada bakat sebagai influencer atau pencipta kandungan, kita sediakan peluang dan bayaran untuk hasil kerja mereka,” katanya.


Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kanan) memberikan penerangan mengenai program Mahasiswa Bangkit di Pusat Khidmat Parlimen Bukit Gantang dekat Taiping.

Selain itu, katanya pendekatan perniagaan tradisional turut digalakkan seperti menjual makanan, produk runcit atau barangan keperluan di kampus dengan modal permulaan disediakan.

Menurutnya, modal turut diberikan kepada pelajar yang berpotensi menghasilkan produk sendiri berdasarkan peluang di universiti masing-masing. - KitaReporters

12
5
0
7
0
You will be interested