Kampus & Pendidikan 24 Jun, 2024

Belajar teknik betul buat CPR! UTeM anjur Program CPR IPT Kebangsaan! Dihadiri 100 pemimpin pelajar!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Antara peserta yang hadir ketika program asas pertolongan cemas, Program Pemulihan Kardiopulmonari atau CPR IPT peringkat Kebangsaan 2024 berlangsung.


Jawatankuasa Kolej Kediaman Siswa/i Satria, Kolej Kediaman Satria Tuah di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) buat julung-julung kalinya telah berjaya menganjurkan program asas pertolongan cemas, Program Pemulihan Kardiopulmonari atau CPR IPT peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung secara maya baru-baru ini. 

Program ini bertujuan untuk mendidik masyarakat, khususnya warga institusi pengajian tinggi (IPT), mengenai kepentingan dan teknik melakukan CPR dengan betul.

Program yang dianjurkan oleh Kolej Kediaman Satria Tuah dengan kerjasama Kelab Rakan Kesihatan ini telah mengumpul lebih daripada 100 pemimpin mahasiswa daripada pelbagai IPTA dan IPTS seluruh Malaysia. 

Antara universiti yang terlibat termasuk Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), dan Nilai University.


Dr. Muhammad Farhan Bachik menyampaikan perkongsian pada program CPR IPT Kebangsaan ini bersama pemimpin mahasiswa seluruh negara yang hadir


Dinesh A/L Subanthiran, Pengarah Program berkata tujuan utama program ini adalah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai CPR dalam kalangan pelajar IPT.
“Dengan pengetahuan yang betul, pelajar dapat memberikan pertolongan cemas yang efektif dalam situasi kecemasan. Program ini juga menekankan pentingnya menyampaikan maklumat yang tepat kepada petugas kecemasan, supaya bantuan yang tiba dilengkapi dengan peralatan dan persiapan yang sesuai.” Kata Dinesh lagi
Sepanjang program ini, tiga aktiviti utama telah dijalankan dengan penuh informatif dan interaktif. 

Pertama, ceramah oleh Pakar Perubatan Dr. Muhammad Farhan Bachik, Pegawai Perubatan Pusat Kesihatan UTeM, yang menyampaikan ceramah komprehensif mengenai teknik-teknik CPR yang betul. 

Ceramah ini turut merangkumi demonstrasi praktikal yang membantu peserta memahami langkah-langkah yang perlu diambil semasa keadaan kecemasan.

Menurut Muhammad Khairul Fudail Zainal Abidin yang merupakan salah seorang peserta, sesi interaksi serta soal jawab yang mana peserta berpeluang mengajukan soalan dan mendapatkan penjelasan lanjut daripada Dr. Muhammad Farhan menjadi slot yang meningkatkan kefahamannya.
“Sesi ini memberi ruang kepada peserta untuk mendalami pengetahuan mereka dan memahami situasi-situasi kecemasan yang berbeza. 

"Malah,  sesi kuiz interaktif yang menguji pengetahuan peserta mengenai CPR dan maklumat yang telah disampaikan sepanjang program. Kuiz ini bukan sahaja menguji kefahaman peserta, tetapi juga menambah elemen keseronokan dalam pembelajaran,” katanya lagi, yang juga merupakan mahasiswa UTeM.


Antara sesi interaksi dalam kalangan peserta yang hadir dengan penceramah.


Sementara itu, Dr. Al Amin Mohamed Sultan, Pengetua Kolej Kediaman Satria Tuah, melahirkan rasa syukur atas kelancaran program ini, yang turut mendapat sambutan hangat daripada beberapa universiti luar seperti UTHM, USM, UTM, UniMAP, UMPSA, dan Nilai University. 

Kehadiran wakil-wakil daripada universiti lain ini menunjukkan kepentingan dan keperluan program sebegini dalam meningkatkan kesedaran mengenai pertolongan cemas pada peringkat IPT.

“Saya berharap agar program-program sebegini dapat diteruskan dan diperluaskan pada masa hadapan, dengan penglibatan lebih banyak IPT dan organisasi kesihatan. 

"Program sebegini bukan sahaja bermanfaat dalam menyediakan pelajar dengan kemahiran menyelamatkan nyawa, tetapi juga memupuk semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan generasi muda,” kata Al Amin yang juga merupakan pensyarah kanan di Fakulti Teknologi dan Kejuruteraan Industri dan Pembuatan UTeM. - KitaReporters/Kenyataan Media


12
9
0
8
0
You will be interested