Kampus & Pendidikan 20 May, 2024

Tahniah MMU! Raikan pengiktirafan berprestij Anugerah Universiti Pilihan Majikan 2024 Talentbank!

Share this


Universiti Multimedia (MMU) mengukuhkan reputasinya dalam menghasilkan graduan berkualiti apabila ia muncul sebagai pilihan utama majikan melalui Anugerah Universiti Pilihan Majikan (EPU) 2024, baru-baru ini.

Anugerah yang diberikan oleh Talentbank itu sebagai mengiktiraf kecemerlangan MMU dalam menghasilkan graduan yang sangat digemari majikan-majikan di Malaysia.

Presiden MMU, Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd. Su’ud, menyifatkan kejayaan itu sebagai suatu pengiktirafan yang tepat untuk menghargai dedikasi berterusan oleh pihak universiti dalam mencapai misi utamanya menghasilkan graduan berkualiti berpaksikan kehendak industri. 

“MMU ditubuhkan dengan matlamat untuk melahirkan graduan-graduan berkemahiran tinggi untuk menyokong industri Malaysia, dan kami melihat anugerah ini sebagai pengesahan lagi kedudukan MMU yang berada di landasan yang betul dalam menghasilkan tenaga mahir digemari majikan,” katanya.



Beliau menambah, MMU juga mengukur secara langsung kebolehpasaran graduan menerusi beberapa petunjuk termasuk Sistem Kajian Pengesanan Graduan (SKPG) atau Graduate Tracer System 2023 yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendapati bahawa 97.7% graduan MMU mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan sahaja selepas menamatkan bergraduasi.

Mengulas tentang anugerah itu, Prof. Mazliham berkata, beliau gembira dengan penghargaan yang diberikan oleh pihak industri kepada graduan MMU, dan ia sekali gus memberi dorongan kepada warga MMU untuk mencapai kejayaan lebih cemerlang pada masa depan.

“Anugerah-anugerah ini mencerminkan penerimaan industri-industri Malaysia terhadap komitmen kukuh MMU. Apa yang kami lakukan tidak mudah, terutama mengambil kira situasi pasar kerja semasa yang dinamik dan mencabar,” katanya.

Pada majlis itu, Prof. Madya Dr. Ong Jeen Wei, Pengarah Alumni, Penglibatan Kerjaya, dan Pembangunan Keusahawanan (ACED), menerima Anugerah Universiti Pilihan Majikan (ECU) bagi pihak MMU di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 2 Mei 2024. Talentbank, melalui laman webnya, menyatakan bahawa anugerah yang diberikan adalah ‘100% ditentukan oleh majikan graduan terkemuka di Malaysia.’

Untuk rekod, pada tahun 2021, MMU menerima Anugerah Pilihan Graduan 2021 Talentbank dan dinamakan sebagai Majikan Graduan Terbaik, manakala pada tahun 2022, Talentbank mengumumkan bahawa MMU dipilih sebagai salah satu Universiti Pilihan dalam kalangan Majikan Malaysia. 

Kemudian, pada tahun 2023, Talentbank menamakan MMU sebagai salah satu Institusi Pendidikan Tinggi Swasta Terbaik pada Anugerah Pilihan Graduan. - KitaReporters/MMU

7
13
0
12
0
You will be interested