Kampus & Pendidikan 09 Jan, 2025

Anjung Tamu UUM lambai-lambai pelancong! Balai masuk universiti, negeri Kedah! Lebih 1.5j pengunjung!

@corp comm uum
Kelab Mobile Journalist UUM

Share this

Anjung Tamu UUM yang terletak di pintu masuk universiti ini menjadi persinggahan utama sebelum masuk ke kampus.

Lebih 1.5 juta pengunjung mengunjungi Anjung Tamu atau juga dikenali sebagai “Welcome Centre” (Pusat Ketibaan) Universiti Utara Malaysia (UUM) sejak 2014 sehingga Disember 2024.

Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mohd Foad Sakdan berkata, bangunan yang dibina bagi mencorak imej UUM sejak 15 Jun 2014 yang mengutamakan konsep mesra pelanggan dan mengamalkan konsep senyum selalu ini menjadi persinggahan utama sebelum tetamu masuk ke dalam kampus.

"Tetamu yang melalui Anjung Tamu yang berada di hadapan pintu masuk utama UUM ini akan singgah bagi mendapatkan maklumat tentang UUM dari segi sejarah penubuhan, kepimpinan dan tempat-tempat menarik di universiti sebelum meneruskan perjalanan mereka ke dalam kampus ini," ujarnya lagi.

Beliau menambah Anjung Tamu ini memainkan peranan sebagai penanda aras kepada UUM sebagai universiti pertama yang mewujudkan bangunan sebegini sebagai tarikan lebih ramai  pengunjung untuk datang melawat UUM di samping membantu pembangunan negeri Kedah dalam aspek mempromosikan sektor pelancongan.


Koleksi gambar universiti ini menjadi hiasan dan rujukan utama pengunjung.

Visi Anjung Tamu ialah menjadikan bangunan ini terkemuka pada peringkat domestik dan antarabangsa, manakala misinya pula ialah memastikan bangunan ini sebagai pusat informasi, khidmat pelanggan, promosi dan hospitaliti bagi pelanggan, tetamu serta pelancong secara global.

Anjung Tamu menjadi platform utama mempromosikan hospitaliti yang efektif dan efisyen selain daripada rekaan bangunan yang mempunyai maksud tersirat yang membawa banyak makna.

Reka bentuk bangunan ini lebih berasaskan gubahan sirih junjung yang kebiasaannya menjadi simbol penting dalam pelbagai upacara masyarakat Melayu.

Manakala di ruang serambi pula, sirih disusun di dalam tepak sirih dan sering  digunakan sebagai pembuka bicara bagi mengalu-alukan tetamu. 



Seterusnya, fungsi ruang dan susun aturnya pula lebih berkonsepkan susun atur di ruang rumah tradisional Melayu seperti serambi di anjung pintu masuk, rumah ibu di lobi utama, ruang tengah di ruang pameran, ruang jemuran di ruang terbuka di antara surau dan tandas, ruang dapur di pantri dan juga loteng di bahagian atas rumah Melayu iaitu bersamaan dengan pejabat di dalam bumbung.

​Selain itu, reka bentuk juga memaparkan ilham daripada ciri-ciri spiritual seni bina Islam. Contohnya, pintu ke surau wanita diletakkan berhadapan dengan laluan ke tandas agar pengguna perempuan mendapat keselesaan.

Kedudukan surau lelaki dan perempuan pula  dibina mengikut arah kiblat dan pastinya memberi keselesaan kepada semua pengunjung.

Sementara itu dinding surau yang dibina dengan konkrit pasang siap bercorak geometrik Islam yang memudahkan kemasukan cahaya dan udara juga turut mengambarkan keselesaan dan ketenangan.


Pelawat dari Thailand tertarik dengan Anjung Tamu UUM.

Secara ringkasnya, reka bentuk bangunan ini lebih menumpukan pada persekitaran semula jadi yang diguna pakai dalam landskap luar dan dalam sekeliling bangunan.

​Anjung Tamu mempunyai logonya yang tersendiri yang bertemakan alam semula jadi sebagai tanda penghargaan terhadap hutan tempat terbinanya universiti ini.

Logonya direka berdiri sendiri sebagai jenama yang mewakili UUM dalam melancarkan kempen promosi domestik dan antarabangsa sebagai usaha merealisasikan agenda pengantarabangsaan.  

Pada titik utama logo bangunannya yang tenang dan hening dilindungi pula timbunan hijau di bawah naungan langit biru menggambarkan persekitaran kampus ini.



​Di samping itu, warna yang diaplikasikan dalam logo mempunyai maksud yang tersirat di mana warna hitam bermakud menyerlahkan tipografi dan bumbung bangunan pula membawa erti tradisi ilmu yang mampan dan futuristik.

Seterusnya, warna hijau bermaksud imej kehijauan hutan, flora, rumput-rampai dan fauna yang terdapat di sekitar kampus pula melambangkan alam semula jadi, harmoni dan mesra alam.

Manakala warna putih melambangkan warna latar bangunan dan tipografi frasa “Anjung Tamu” dalam reverse text berkotak segi empat tepat menegaskan tentang kedudukannya sebagai batu asas universiti menerima pengantarabangsaan dengan mentransformasikan frasa tersebut ke dalam bahasa Inggeris dengan maksud yang sama sebagai “Welcome Center”.

Warna biru pula bermaksud menyerlahkan tipografi, melambangkan langit dan autoriti sebagai universiti awam yang ditubuhkan pada tahun 1984. Biru turut melambangkan universiti berstatus autonomi dan perpaduan warganya.


Koleksi hiasan sentiasa bertukar setiap kali menjelang perayaan.

Bangunan Anjung Tamu dibina atas dasar menjadikannya sebagai ikon terbaharu universiti terkemuka dan juga sebagai langkah menampilkannya sebagai penanda aras kepada UUM, sekali gus secara tidak langsung dapat meningkatkan imej dan reputasi universiti.

Sejak dibuka, Anjung Tamu ini menjadi destinasi pelancongan tidak kira dalam atau luar negara.

Dalam mempromosikan universiti ini, pihak pengurusan, tenaga akademik dan pelajar juga memberikan sokongan padu dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti yang dianjurkan oleh pihak universiti bagi mempromosikan kemudahan dan tempat-tempat menarik yang terdapat di UUM selaras dengan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.


Pelajar kampus ini juga mengambil peluang untuk merakamkan gambar di Anjung Tamu ini.

Kini UUM menjadi tumpuan utama pelancong disebabkan oleh lokasi strategiknya yang terletak dalam hutan dan juga dikenali dengan sebagai Universiti di Rimba Hijau di persada dunia.

Tambahan pula, UUM dinobatkan sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka yang melahirkan ramai pengurus pada masa akan datang, malah mempunyai kedudukan kelas tertinggi di seluruh universiti di Malaysia.

Faktor-faktor sebegini menarik pelancong untuk datang melawat UUM dan bilangan kedatangan pelancong semakin bertambah dan nama UUM menjadi sebutan orang ramai setelah terbinanya.

Anjung Tamu yang menjadi tumpuan pelajar, staf dan tetamu untuk duduk berbincang dan menikmati minuman dan makan ringan yang dijual di sini turut mendapat pengiktirafan apabila muncul pemenang tempat kedua dalam Pertandingan Pengiktirafan Tandas Awam Bersih Peringkat Kebangsaan 2019 yang diumumkan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan memenangi kategori Tandas Terbaik Daerah Kubang Pasu. - KitaReporters


Gambar kenangan akan diabadikan setiap kali pengunjung melawat Anjung Tamu ini.
13
9
0
13
0
You will be interested